MAJLIS Tertinggi (MT) UMNO bersetuju supaya kepimpinan parti itu di peringkat negeri mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti-parti politik yang bersedia untuk bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur malam tadi, Asyraf berkata, UMNO turut mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal yang dijalankan oleh agensi serta penyelidik dalam kalangan ahli akademik berhubung sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.
Beliau berkata, dapatan tersebut menjurus kepada sentimen rakyat terutamanya orang Melayu yang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan kepentingan keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.
Asyraf Dusuki juga memaklumkan, UMNO akan menjemput kepimpinan tertinggi Pas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bulan depan sebagai membalas jemputan Pas kepada pemimpin UMNO untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas di Kota Bharu pada 4 September ini.





