Tiga rakyat Malaysia antara 546 masih hilang akibat tanah runtuh di Xizang

SERAMAI16 orang disahkan maut manakala 546 lagi masih hilang sehingga jam 6 petang Sabtu selepas kejadian tanah runtuh melanda Pelabuhan Gyirong di sempadan China-Nepal, di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China, pada 26 Ogos lalu.

Menurut kerajaan wilayah berkenaan, 261 warga asing dari 23 negara  termasuk tiga dari Malaysia turut dikenal pasti sebagai individu yang masih belum dapat dikesan selepas kejadian tanah runtuh itu.

Angka berkenaan diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan Pusat Penerangan Kerajaan Wilayah Xizang selepas pihak berkuasa hal ehwal luar, keselamatan awam, kebudayaan dan pelancongan serta pengurusan kecemasan menjalankan operasi pencarian dan semakan silang maklumat.

Mereka yang masih belum dapat dikesan terdiri daripada 104 warga Nepal, 49 warga India, 33 warga Latvia, 18 warga Amerika Syarikat, 15 warga Britain, enam warga Kanada, enam warga Australia, empat warga Afrika Selatan, tiga warga Malaysia, tiga warga Jerman dan tiga warga Rusia.

Turut dilaporkan hilang ialah dua warga Ireland, dua warga Estonia, dua warga Perancis, dua warga Belanda dan dua warga New Zealand, selain masing-masing seorang warga Kazakhstan, Finland, Lithuania, Portugal, Ukraine, Sepanyol dan Hungary.

Pihak berkuasa China telah memaklumkan perkara itu kepada kedutaan dan konsulat negara-negara terbabit di China.

Selepas beberapa siri operasi pencarian, pemeriksaan lokasi dan semakan terhadap individu di kawasan pelabuhan, pihak berkuasa berkata tiada pelancong asing kini terperangkap di Kaunti Gyirong.

China turut menyediakan dua talian hotline beroperasi 24 jam dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan keluarga warga asing yang masih belum ditemui mendapatkan maklumat.Hotline berkenaan ialah 0086-891-6817165 dan 0086-18308026705.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here