Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 903 orang, 4,247 belum ditemui

ANGKA  korban akibat banjir dahsyat di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli Nepal meningkat kepada 903 orang, manakala kira-kira 4,247 lagi masih belum ditemui, menurut angka terbaharu yang dikeluarkan kerajaan negara itu.

Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Negara (NDRRMA) dalam kemas kini operasi mencari, menyelamat dan bantuan yang dikeluarkan pada jam 9 pagi hari ini (jam 11.15 waktu Malaysia) memaklumkan, sebanyak 903 mayat termasuk cebisan jasad manusia telah ditemukan di beberapa daerah yang terjejas akibat banjir.

Banyak mayat masih ditemukan ratusan kilometer dari lokasi kejadian selepas arus banjir deras menghanyutkan mangsa bersama serpihan di sepanjang aliran sungai, lapor Kathmandu Post.

Jumlah individu yang masih hilang turut meningkat dengan mendadak. Daerah Nuwakot merekodkan 1,558 orang masih belum ditemui, manakala Rasuwa mencatatkan 865 orang.

Selain itu, 933 individu yang mempunyai kaitan dengan projek hidroelektrik, 592 warga asing serta 127 rakyat Nepal yang mengiringi pelancong asing turut dilaporkan masih hilang.

Seramai 83 anggota pasukan keselamatan juga masih belum ditemui, terdiri daripada 45 anggota Tentera Nepal, 25 anggota Polis Nepal dan 13 anggota Pasukan Polis Bersenjata.

Kerajaan turut melaporkan 267 orang cedera, dengan 156 daripadanya telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.

Sebanyak enam pasukan perubatan pembedahan khusus telah dihantar ke kawasan yang paling teruk terjejas.

Operasi mencari, menyelamat dan bantuan kini dipergiatkan dengan 20,819 anggota keselamatan dikerahkan ke daerah-daerah terjejas.

Jumlah itu terdiri daripada 8,722 anggota Tentera Nepal, 7,894 anggota Polis Nepal dan 4,203 anggota Pasukan Polis Bersenjata.

Setakat ini, pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 10,451 orang.

Operasi udara memainkan peranan penting dalam usaha menyelamat, dengan 411 penerbangan helikopter telah dilakukan setakat ini, termasuk 17 penerbangan pada Isnin.

Operasi menyelamat melalui udara oleh Tentera Nepal telah membawa keluar 3,344 rakyat Nepal dan 252 warga asing, termasuk 15 warga China dan tujuh warga India yang diselamatkan dari sebuah lokasi projek hidroelektrik pada Ahad.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here