DUNIA perisikan sedang berubah dengan kelajuan yang belum pernah dialami sebelumnya. Persaingan geopolitik, ancaman hibrid, serangan siber, manipulasi maklumat, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi autonomi menjadikan persekitaran keselamatan semakin kompleks, kabur dan sukar dijangka.
Dalam suasana inilah Strategic Guidance Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Ke-19, Leftenan Jenerala Dato’ Fazal Abdul Rahman, bersempena 100 hari pemerintahannya perlu dilihat lebih jauh daripada sebuah amanat organisasi, “hidup” bukan sekadar satu ucapan. Ia juga sebenarnya membawa suatu pemikiran tentang masa depan perisikan pertahanan Malaysia.
Bertemakan “Perisikan Unggul, Keputusan Berwibawa, Kedaulatan Terpelihara”, panduan tersebut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah organisasi perisikan tidak lagi boleh diukur semata-mata daripada banyaknya maklumat yang diperoleh atau laporan yang dihasilkan.
Perisikan masa hadapan mesti mampu memberikan Decision Advantage iaitu kelebihan kepada kepimpinan untuk membuat keputusan yang lebih baik, lebih awal dan lebih yakin. Ertinya, perisikan tidak boleh sekadar memberitahu apa yang telah berlaku.
Risikawan perlu menjelaskan mengapa sesuatu berlaku, menjangka apa yang mungkin berlaku seterusnya serta menerangkan apakah implikasinya terhadap kepentingan dan keselamatan negara.
Di sinilah falsafah Wawasan, Integriti dan Pengaruh (“Insight, Integrity and Influence”) menjadi penting. Wawasan menuntut warga perisikan melihat melangkaui apa yang berada di hadapan mata.
Mereka perlu mempunyai strategic foresight, mengenal pasti perubahan kecil, menghubungkan maklumat yang kelihatan terpisah dan mengesan petunjuk sebelum sesuatu ancaman berkembang menjadi krisis.
Integriti pula merupakan asas kepada seluruh profesion. Ungkapan bahawa tugas perisikan bukan untuk memberitahu pemimpin apa yang mereka mahu dengar tetapi apa yang mereka perlu tahu, barang kali merupakan antara mesej terpenting Strategic Guidance ini.
Dalam dunia yang semakin dikuasai data dan AI, prinsip tersebut menjadi lebih penting. Mesin boleh memproses jutaan data, mengesan pola dan membantu menghasilkan analisis dalam tempoh singkat tetapi teknologi tidak mempunyai keberanian moral, amanah dan pertimbangan profesional seorang manusia.
Oleh itu, prinsip yang diketengahkan amat tepat: manusia memimpin, teknologi mempercepat dan integriti mengawal.
Pemodenan MDIO melalui AI, big data analytics, automasi, cyber intelligence, perisikan geospatial dan integrasi data merupakan langkah yang tidak boleh dielakkan, namun teknologi bukan matlamat akhirnya.
Ia hanyalah alat untuk membolehkan manusia membuat penilaian dengan lebih cepat, tepat dan bermakna. Pada masa sama, masa depan perisikan bukan sekadar soal mesin dan sistem. Strategic Guidance ini meletakkan manusia sebagai kekuatan sebenar organisasi.
Profesionalisme, ilmu, disiplin, keberanian moral dan pembangunan bakat perlu menjadi teras. Pemimpin juga dituntut bergerak daripada budaya sekadar command and control kepada coach and develop (membimbing, membangunkan) dan menyediakan generasi pelapis.
Pemikiran ini amat penting kerana sistem boleh dibeli dan teknologi boleh diperoleh tetapi budaya organisasi, integriti dan risikawan berkualiti mengambil masa bertahun-tahun untuk dibentuk.
Begitu juga seruan menghapuskan silo dan bergerak dengan semangat “Satu MDIO, Satu Pasukan, Satu Misi”. Ancaman masa hadapan merentasi darat, maritim, udara, siber, elektromagnetik dan ruang maklumat. Justeru, perisikan juga mesti bersepadu, tangkas dan saling beroperasi.
Keseluruhan panduan ini akhirnya membawa MDIO daripada budaya mengetahui kepada memahami daripada memahami kepada menjangka dan daripada menjangka kepada memberikan kelebihan membuat keputusan, namun ada satu detik pada hari amanat itu disampaikan yang memberikan makna tersendiri kepada perkataan “amanah”.
Ketika mengetahui ibunya telah menghembuskan nafas terakhir, beliau tetap menyempurnakan Strategic Guidance yang sedang disampaikan sebelum meninggalkan majlis.
Tidak perlu diperbesarkan kedukaannya, cukuplah peristiwa itu memperlihatkan bagaimana suatu amanah ditunaikan dengan dedikasi yang luar biasa.
Masa depan perisikan akhirnya bukan sahaja ditentukan oleh kecanggihan teknologi. Ia ditentukan oleh manusia yang mampu melihat sebelum orang lain melihat, memahami sebelum orang lain memahami dan memberi amaran sebelum keadaan menjadi kritikal dan di sebalik semua itu ialah satu nilai yang tidak pernah lapuk oleh teknologi, amanah kepada negara.





