HUBUNGAN dalam Jemaah Menteri yang kekal harmoni, konstruktif dan profesional walaupun ada penggerak parti kerajaan saling ‘bertikam lidah’, mencerminkan kematangan serta sikap bertanggungjawab dalam politik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau sebagai ‘pemerhati luar’ yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam kerajaan dapat melihat sendiri keadaan berkenaan.
Berikut catatan penuh Ahli Parlimen Papar itu melalui Facebook beliau hari ini:
Setiap tahun, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos disemarakkan dengan penuh warna warni kemeriahan, disertai oleh sekalian rakyat Malaysia.
Bukan sekadar di Putrajaya, di ibu-ibu negeri, malah kobaran semangat patriotisme sepanjang bulan kebangsaan bergema di seluruh pelosok tanah air, dengan kibaran Jalur Gemilang bermula pertengahan bulan Julai sehingga 16 September, hari terbentuknya negara tercinta bernama Malaysia.
Sambutan Bulan Kebangsaan adalah wahana untuk sekalian rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan sekali gus menterjemahkannya kepada tekad membina masa depan tanah air ini, secara bersama-sama.

Siapa juga kita; pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga dan penggerak masyarakat sivil serta sekalian rakyat, punyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan.
Punyai persamaan atau apa jua perbezaan, tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara, dan pemilikan itu dimaknai dengan kedua-dua soal hak dan tanggungjawab.
Persoalan hak dan tanggungjawab itu juga terpakai kepada para pimpinan negara yang mendapat mandat melalui sistem demokrasi berparlimen. Sejak beberapa bulan yang lalu, khususnya dalam interaksi dengan masyarakat di Sabah, acap kali saya diajukan dengan soalan yang berkisar dengan situasi semasa Kerajaan di Putrajaya.
Antaranya ada bertanya; apa ‘kejadian’ di pusat sekarang, apa ‘kesudahan’ Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, malah banyak juga yang lebih ‘direct’ bertanya, macam manalah kamu di kabinet sekarang.
Sejujurnya acap kali juga saya memilih untuk memberikan jawapan mudah yang sebenarnya lebih kepada ‘mengelak’ perbincangan panjang, respon saya adalah; janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga.
Hakikatnya, Malaysia ini juga adalah rumah besar yang wajib dipelihara dan dibina bersama. Sekalipun datang daripada parti dan rumah kecil, saya juga ada hak dan tanggungjawab kepada tanah air tercinta.
Sungguhpun mendapat pendedahan langsung dalam sistem politik dan kerajaan seawal usai bergraduat dan memulakan kerjaya lebih 25 tahun lalu di beberapa kementerian, namun saya antara ‘orang baharu’ yang mendapat amanah dalam barisan Jemaah Menteri.
Ditambah dengan kehadiran daripada sebuah ‘parti tempatan kecil’, saya banyak memilih untuk menggarap pengalaman dengan memerhati dari dekat, selain memfokuskan kepada tanggungjawab kementerian sendiri, dan pastinya isu-isu berbangkit tentang Sabah.
Sebagai ‘pemerhati’ yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan-MADANI, secara jujurnya saya kagum dan bersyukur dengan kematangan politik rakan-rakan dalam Jemaah Menteri.
Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling ‘berbalas pantun bertikam lidah’ sejak beberapa bulan lalu, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional. Saya bersyukur kerana dapat melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang dan bertanggungjawab.
Kematangan yang terbina atas kesedaran dan kebersamaan membentuk konsensus perpaduan demi memastikan tanah air ini memiliki sebuah kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 untuk memandu hala tuju pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Tanggungjawab yang tergalas untuk memastikan wujudnya kestabilan dalam Kerajaan untuk menyempurnakan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang telah dimeterai pada 16 Disember 2022.
Inilah landskap politik baharu negara yang perlu diterima pasca berakhirnya dominasi satu parti. Inilah masa untuk memaknai bicara kita sendiri bahawa peristiwa 2018-2022 dengan pertukaran tiga perdana menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran yang mampan untuk Malaysia.
Sehingga kini, inilah nilai dan makna yang saya garap daripada kematangan politik dan kepimpinan rakan-rakan Jemaah Menteri yang saya yakin terbina atas rasa kesedaran bahawa hak politik diri dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara.
Inilah nilai dan makna sebuah kematangan politik yang penting untuk memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia hari ini dan masa mendatang. Keranamu Malaysia!





