PM seru AS, Iran reda ketegangan dan kembali ke meja rundingan

DATUK Seri Anwar Ibrahim menyeru Amerika Syarikat (AS) dan Iran supaya segera meredakan ketegangan serta mengutamakan rundingan bagi mencari penyelesaian terhadap konflik yang semakin membimbangkan.

Perdana Menteri berkata, perkembangan terbaharu antara kedua-dua negara amat merisaukan, khususnya apabila tindakan ketenteraan kini berisiko memberi kesan kepada negara-negara lain di rantau Asia Barat.

Menurut Anwar, keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia berpotensi mencetuskan konflik lebih besar yang bukan sahaja mengancam kestabilan rantau berkenaan, malah boleh mengakibatkan kemusnahan dan penderitaan lebih serius.

“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk menentukan perkembangan keadaan memikul tanggungjawab khusus untuk menahan diri dan mencegah ketegangan daripada terus meningkat.

“Kedaulatan negara lain tidak boleh diketepikan. Tiada matlamat ketenteraan yang boleh dijadikan alasan untuk mendedahkan orang awam kepada konflik yang semakin meluas,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri turut memberi amaran bahawa tekanan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat serta tindakan yang menyukarkan usaha diplomatik hanya berpotensi merumitkan lagi keadaan.

Katanya, pendekatan sedemikian tidak akan membantu meredakan krisis, sebaliknya boleh meningkatkan ketegangan dan menutup ruang untuk penyelesaian secara aman.

Justeru, Anwar menggesa kedua-dua pihak menghentikan sebarang langkah yang boleh mencetuskan peningkatan konflik dan kembali menggunakan saluran diplomasi sebagai jalan penyelesaian.

Beliau turut menyeru AS dan Iran menghidupkan semula usaha rundingan serta berpegang kepada persefahaman yang dicapai pada Jun lalu.

“Konflik ini akhirnya hanya boleh diselesaikan melalui kaedah politik dan diplomatik.

“Dunia tidak seharusnya dipaksa menanggung akibat daripada peperangan serantau yang lebih luas,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here