DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) baru-baru ini.
Menurut Perdana Menteri, penelitian itu bagi mengenal pasti punca isu berkenaan selain memastikan tiada ketirisan berlaku.
“Saya tidak tahu syarikat mana, saya kata kalau syarikat ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan (kontrak) ambil syarikat baharu jangan jadikan pesawah, petani mangsa.
“Ambil tindakan, kalau nak didakwa SPRM masuk, saya dah minta SPRM masuk dan kaji balik proses ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang hari ini.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk membatalkan kontrak mana-mana syarikat yang berulang kali gagal melaksanakan pengagihan bekalan baja seperti diamanahkan.
“Saya nak sebut mengenai pengedaran baja pesawat di Kedah kita lihat kelewatan, sekali lagi menjadi mangsa pesawah, mereka bangkit marah dan memo bantahan saya terima.
“Jadi kena cari apa puncanya, syarikat mana diberi amanah, mereka tunai janji atau tidak, kalau tidak tunai mengapa tiada tindakan kepada mereka,” tegasnya lagi.
Tambah Anwar, beliau menerima memorandum daripada wakil petani baru-baru ini dan mahu perkara itu tidak lagi berulang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan sebuah syarikat bagi pembekalan baja ekoran berlaku kelewatan.
Bagaimanapun, Mohamad memaklumkan, isu itu dijangka selesai apabila baki baja berkenaan dapat disalurkan MADA kepada pesawah dalam tempoh 10 hari.
Pada Ogos lalu, media melaporkan hasil kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA dikhuatiri terjejas apabila masih belum menerima baja tambahan.





