DATUK Seri Anwar Ibrahim menghubungi bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), yang kini berada di Pulau Pinang bagi menghadiri Penang Peace Dialogue, pagi ini.
Menerusi satu perkongsian, Perdana Menteri berkata, beliau turut menyampaikan permohonan maaf kerana tidak dapat bertemu Jokowi secara langsung berikutan komitmen yang telah dijadualkan lebih awal bersama golongan petani, penternak, peladang serta komuniti agro sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Menurut beliau, perbualan bersama Jokowi berlangsung dalam suasana mesra, selain kedua-duanya bertukar khabar mengenai perkembangan semasa.
Anwar pada masa sama menzahirkan solidariti kepada rakyat Indonesia berikutan bencana gunung berapi serta masalah jerebu yang sedang dihadapi negara berkenaan.
Beliau menegaskan hubungan Malaysia dan Indonesia bukan sekadar berlandaskan kedudukan sebagai negara berjiran, sebaliknya turut diperkukuh oleh persamaan sejarah, budaya serta hubungan kekeluargaan antara kedua-dua bangsa.
“Jawatan dan kedudukan boleh berubah, namun persahabatan serta rasa hormat akan terus kekal,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Anwar berkata, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat kedua-dua negara, selain menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran rantau ini.
Beliau turut berharap hubungan persaudaraan kedua-dua negara akan terus diperkukuh pada masa hadapan.





