10 lelaki masih diburu, bantu siasatan dua kes pergaduhan

POLIS kini memburu 10 lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan dua kes pergaduhan di Taman Alam Megah dan Taman Sri Muda, termasuk satu kes yang mengakibatkan kematian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah itu, tujuh suspek dikehendaki bagi membantu siasatan kes di Taman Alam Megah, manakala tiga lagi berkaitan kes di Taman Sri Muda.

“Kesemua suspek tempatan berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun dan masih bebas.

“Justeru, polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung keberadaan kesemua suspek berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Beliau berkata, susulan kedua-dua kes berkenaan, polis melakukan beberapa siri serbuan di Taman Sri Muda, Seksyen 19 Shah Alam, Klang, Muar dan Iskandar Puteri, Johor, bermula 14 hingga 28 Ogos lalu.

Menurutnya, hasil operasi itu, polis menahan 21 lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun.

“Hasil semakan mendapati beberapa suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kesalahan berkaitan dadah.

“Polis turut merampas pelbagai senjata antaranya tujuh bilah parang, sebatang tukul besi, dua pemotong kabel, satu alat pengunci stereng, sembilan kereta, tiga motosikal serta beberapa telefon bimbit daripada pelbagai jenama,” katanya.

Shazeli berkata, daripada 21 lelaki yang ditahan, lapan sudah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), empat lagi didakwa mengikut Seksyen 148 KK, manakala lapan lelaki dibebaskan.

Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain apabila kes di Taman Alam Megah dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan, manakala kes di Taman Sri Muda pula disebabkan salah faham.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati mangsa yang maut dalam kes di Taman Alam Megah mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebelum ini media melaporkan lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 4 September lalu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Taman Alam Megah.

Mereka ialah K. Thivagar, 29, Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, Sheik Mauludin, 24, M.K. Puwanesearan, 39, R. Darvin Raj, 23, S.R. Harikrisnan, 42, A. Rhubban, 37 dan Soulami Ahimsha, 46.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here