PRESIDEN Nepal, Ramchandra Paudel, menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit bagi memastikan keadilan iklim untuk Nepal dan negara-negara lain yang paling teruk terjejas akibat perubahan alam sekitar.
Ketika menyampaikan amanat negara hari ini, Paudel berkata bencana banjir berkenaan mendedahkan tahap kerapuhan luar biasa ekosistem Himalaya, selain menjadi amaran jelas mengenai peningkatan suhu global dan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat.

“Saya dengan tulus merayu kepada masyarakat antarabangsa bukan sahaja untuk mendengar suara negara-negara yang terdedah kepada ancaman ekologi, termasuk Nepal, tetapi juga mengambil langkah konkrit dan berkesan bagi memastikan keadilan iklim untuk mereka,” katanya.
Banjir berkenaan telah meragut sekurang-kurangnya 1,355 nyawa di lapan daerah, manakala 4,996 orang masih belum ditemui, berdasarkan data kerajaan yang dikeluarkan pada Isnin.
Anggaran awal pula menunjukkan kerugian membabitkan harta benda, kediaman dan infrastruktur mencecah 387.5 bilion rupee Nepal (RM10.36 bilion), menurut National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA).
“Seluruh negara sedang berkabung akibat bencana dahsyat ini,” kata Paudel.
Beliau memuji usaha Tentera Nepal, Polis Nepal, Angkatan Polis Bersenjata, petugas kesihatan, wakil kerajaan tempatan, penjawat awam, sukarelawan serta pelbagai organisasi yang terbabit dalam operasi mencari, menyelamat dan bantuan.
Mengimbas pengalaman Nepal menghadapi gempa bumi, banjir, tanah runtuh, pandemik dan pelbagai bencana lain, Paudel berkata rakyat Nepal berulang kali menunjukkan keberanian, kesabaran dan keazaman dalam menghadapi krisis.
“Ini bukan masa untuk berpecah-belah. Ia juga bukan masa untuk saling menyalahkan atau terjebak dalam pertikaian politik dan konfrontasi. Ini adalah masa untuk menunjukkan perpaduan dan solidariti nasional. Ia juga masa untuk pembinaan semula, pemulihan serta pemulihan ekonomi,” katanya.
Paudel turut mengucapkan terima kasih kepada negara-negara jiran dan masyarakat antarabangsa atas bantuan pantas yang diberikan, termasuk penghantaran anggota mencari dan menyelamat, pakar teknikal, pasukan perubatan serta peralatan penting.
Beliau berkata kerajaan Nepal sedang menyelaras usaha dengan kerajaan tempatan, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan operasi bantuan, menyelamat dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.





