SEORANG pakar gunung berapi dari Institut Teknologi Sepuluh November (ITS) Surabaya meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap aktiviti Gunung Semeru dan Gunung Merapi di tengah-tengah peningkatan aktiviti beberapa gunung berapi di Indonesia yang berlaku dalam tempoh berdekatan.
Sebelum ini, letusan Gunung Anak Krakatau menyebabkan abu gunung berapi tersebar ke kawasan yang luas.
Pakar ITS, Fian, berkata Gunung Semeru perlu diberi perhatian kerana corak letusannya dianggap sukar diramal dan ia juga terletak berhampiran kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.
“Semeru ini lebih perlu diwaspadai kerana perilaku letusannya tidak dapat diramal dengan baik. Kadang-kadang Semeru boleh meletus besar tanpa sebarang tanda awal,” katanya lapor republika.co.id.
Katanya, pada masa sama, aktiviti Gunung Anak Krakatau juga perlu terus dipantau, ia kerana karakter gunung itu berbeza dengan Semeru dan Merapi kerana berada dalam persekitaran laut.
‘’Keadaan tersebut menyebabkan potensi tanah runtuh atau sebahagian tubuh gunung runtuh ke laut perlu diberi perhatian dalam usaha mitigasi bencana. Peristiwa seumpama itu pernah mencetuskan tsunami di Selat Sunda pada 2018,’’ katanya.
Bagaimanapun, Fian mengingatkan orang ramai supaya tidak terus mengaitkan aktiviti Anak Krakatau dengan aktiviti Semeru atau gunung berapi lain.
“Setiap gunung mempunyai sistem magmatik tersendiri. Jadi, kita tidak boleh mengatakan kerana Anak Krakatau aktif, kemudian Semeru turut aktif atau sebaliknya,” katanya.
Fian berkata, pemantauan geofizik boleh membantu memahami perubahan yang berlaku di bawah permukaan gunung berapi.
Salah satu pendekatan yang digunakan dalam penyelidikannya ialah kaedah geofizik untuk mengenal pasti keadaan bawah permukaan serta mengesan perubahan yang mungkin berkaitan dengan aktiviti gunung berapi.
“Kami cuba melihat sama ada terdapat aktiviti baharu atau isyarat pendahulu. Jadi, terdapat isyarat geofizik yang mungkin muncul sebelum letusan,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya corak isyarat tersebut dapat dikenal pasti melalui penyelidikan dan disokong oleh data yang mencukupi, maklumat berkenaan berpotensi meningkatkan pemahaman mengenai aktiviti gunung berapi.
Namun, kaedah itu belum boleh dianggap sebagai alat yang mampu menentukan dengan tepat bila sesebuah gunung berapi akan meletus.
“Perkara paling penting tetap pemantauan. Kita tidak boleh mengatakan gunung akan meletus hanya berdasarkan satu parameter,” katanya.
Fian turut meminta orang ramai supaya tidak panik dengan aktiviti beberapa gunung berapi yang berlaku dalam tempoh berdekatan.





