Oleh : Dr. Ramzy Baroud
Kenyataan jujur oleh Presiden AS Donald Trump semasa wawancara dengan Fox News pada 9 Oktober lalu mungkin menjelaskan sebab sebenar di sebalik keputusan Israel untuk menerima gencatan senjata di Gaza, selepas dua tahun kempen pembunuhan beramai-ramai yang telah mengorbankan dan mencederakan hampir suku juta rakyat Palestin.
“Israel tidak boleh melawan seluruh dunia, Bibi (nama panggilan Benjamin Netanyahu),” kata Trump dalam wawancara itu, satu amaran terus yang dikatakan pernah disampaikannya kepada Perdana Menteri Israel itu.

Hakikatnya, sangat sedikit orang di seluruh dunia yang kini menyokong Netanyahu. Lebih penting lagi, sebahagian besar rakyatnya sendiri telah lama memandang rendah kepada beliau – kebencian yang sudah wujud sebelum perang di Gaza, yang digunakannya sebagai percubaan terdesak untuk memulihkan popularitinya di dalam negara.
Namun, delusi itu tetap berterusan. Walaupun jutaan orang di seluruh dunia turun ke jalan memprotes pembunuhan sistematik terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, Netanyahu seolah-olah meyakinkan dirinya bahawa pandangan dunia sedang berubah memihak kepadanya — satu perubahan yang mustahil berlaku, kerana dunia tidak pernah menyukainya sejak awal lagi.
Tetapi apakah sebenarnya maksud Trump dengan kata-kata, “Kamu tidak boleh melawan dunia”?

Istilah ‘melawan’ di sini jelas melampaui erti pertempuran fizikal. Gaza, yang dikepung, dilaparkan dan dimusnahkan, ialah pihak yang menanggung penderitaan fizikal itu. Rujukan Trump secara jelas merujuk kepada gelombang kebangkitan sentimen anti-Israel di seluruh dunia: sekatan rasmi oleh negara seperti Sepanyol, tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa, seruan luas untuk memboikot, penganjuran flotila kebebasan, dan banyak lagi.
Sangat penting untuk diperhatikan bahawa dalam fikiran Washington dan Tel Aviv, semua perkembangan global itu kini dilihat sebagai ancaman strategik yang serius. Sejarawan masa depan mungkin akan menandakan detik ini sebagai titik perubahan dalam sikap global terhadap penjajahan Israel di Palestin.
Jika gerakan solidariti yang semakin berkembang itu dapat dipupuk secara strategik oleh rakyat Palestin, ia berpotensi mengasingkan Israel sepenuhnya – memaksanya untuk akhirnya melepaskan cengkaman kolonialisme dan aparteid ke atas rakyat Palestin.
Namun ‘Bibi’ (Netanyahu) bukan sahaja kehilangan sokongan dunia, tetapi juga sedang kehilangan Amerika sendiri. Selama beberapa dekad, Amerika Syarikat berperanan sebagai penyokong utama Israel -membiayai setiap peperangan, menampung setiap penempatan haram, mempertahankan setiap tindakan kekerasan, dan sentiasa menggagalkan sebarang usaha antarabangsa untuk mendakwa Israel.
Sebab-sebab di sebalik sokongan tanpa henti Amerika terhadap Israel amatlah kompleks. Walaupun pengaruh kuat lobi pro-Israel di Washington dan kawalan besar Israel terhadap media utama sering disebut, realitinya jauh lebih mendalam.
Naratif yang dibina dan dikongsi antara kedua-dua negara itu telah lama menggambarkan Israel bukan sekadar sekutu, tetapi sebagai lanjutan identiti politik dan nilai teras Amerika sendiri.
Namun, rekahan dalam binaan politik itu mula muncul dengan jelas. Suara-suara penentang yang dahulu diketepikan dan dilabel ‘radikal’ dalam kalangan sayap kiri Amerika kini semakin diterima arus perdana, khususnya dalam Parti Demokrat.
Tinjauan demi tinjauan menunjukkan perubahan besar, apabila majoriti penyokong Demokrat menolak dasar Israel dan sebaliknya menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk kebebasan.
Salah satu tinjauan paling signifikan dilakukan oleh Gallup pada Mac 2025 mendapati 59 peratus pengundi Demokrat lebih bersimpati kepada rakyat Palestin, manakala hanya 21 peratus yang lebih bersimpati kepada Israel.

Genosid Israel di Gaza bukan sekadar mencetuskan penentangan dalam satu parti politik utama Amerika. Ia telah menjadikan penentangan terhadap Israel sebagai arus perdana, merentasi garis politik tradisional , satu perubahan yang amat membimbangkan pihak yang mahu mengekalkan ilusi bahawa Israel boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa bantahan Amerika.
Media pro-Israel di AS telah berperang secara memalukan untuk menutup hakikat sebenar genosid tersebut. Mereka berulang kali cuba menyalahkan rakyat Palestin atas tindakan Israel, sambil mempromosikan naratif jahat bahawa perang terhadap penduduk Gaza adalah sebahagian daripada ‘perang menentang keganasan’ yang kononnya perlu.
Namun, rakyat biasa dengan bantuan kuasa media sosial telah bangkit menentang. Mereka berjaya menumpaskan mesin propaganda arus perdana yang selama puluhan tahun menjadi benteng utama pertahanan Israel.
Fakta yang lebih merisaukan bagi Israel ialah penghakisan sokongan daripada pangkalan baru yang dibinanya kumpulan Evangelikal dan parti Republikan. Tinjauan menunjukkan penurunan ketara sokongan, terutama dalam kalangan pengundi muda Republikan.
Satu kajian oleh University of Maryland Critical Issues Poll pada Ogos 2025 mendapati hanya 24 peratus pengundi Republikan berumur 18–34 tahun lebih bersimpati kepada Israel berbanding Palestin.
Menurut laporan Politico, Israel bahkan cuba memanipulasi media sosial dengan membayar sejumlah besar wang kepada influencer untuk menyebarkan propaganda dan maklumat palsu. Kempen itu dikatakan menggunakan kira-kira 600 akaun palsu yang menyiarkan lebih 2,000 komen berkoordinasi setiap minggu, menyasarkan lebih 120 ahli kongres Amerika.
Namun, bolehkah Israel memulihkan semula naratif yang semakin runtuh ini? Walaupun sejumlah wang besar pasti akan dibelanjakan untuk melancarkan kempen imej yang canggih, usaha itu akan terbukti sia-sia.
Naratif Palestin yang dahulu terpinggir kini bangkit menjadi suara moral yang kuat dan berpengaruh di seluruh dunia. Ketabahan, keberanian dan maruah rakyat Palestin telah menawan hati masyarakat global serta menggerakkan gelombang sokongan yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
Realiti baru ini mungkin menandakan detik terakhir bagi hasbara — propaganda rasmi Israel — kerana kini tiada lagi jumlah wang, liputan akhbar, atau dokumentari Netflix yang mampu membersihkan imej sebuah negara yang secara terbuka melakukan genosid, antara yang paling didokumentasikan dalam sejarah moden.
- Ramzy Baroud adalah Wartawan, Penulis dan Pengarang portal The Palestine Chronicle.
- Artikel ini dipetik daripada portal tersebut.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


