
Oleh NAJIBAH HASSAN
Kebelakangan ini saya ‘sengaja’ memilih melakukan transaksi secara tunai — bukan kerana penggunaan kad atau digital itu sulit, tetapi kerana rasa rindu untuk ‘melihat’ dan ‘menyentuh’ wang itu sendiri.
Pada zaman kanak-kanak, antara perkara paling saya gemar lakukan ialah menghidu aroma segar wang kertas baharu hasil pemberian duit raya. Setelah dewasa saya sedar bahawa pengalaman itu melatih deria sentuh berfungsi secara efektif dan menyimpan momen penting dalam memori.
Namun dalam dunia serba moden hari ini, kita jarang benar menyentuh wang sebenar — semuanya digantikan dengan imbasan skrin dan angka maya. Biarpun transaksi manual mengambil sedikit masa, ada kepuasan tersendiri dalam proses itu kerana sekurang-kurangnya saya dapat melihat dan menyentuh nilai sebenar wang yang dibayar.

Hakikatnya, berapa ramai antara kita yang benar-benar mengenali mata wang negara secara fizikal? Hanya RM1 dan RM5 diperbuat daripada polimer, selebihnya daripada campuran kertas. Dengan saiz dan warna berbeza, siri wang kertas bertemakan Distinctively Malaysia sebenarnya memaparkan keindahan alam, warisan budaya serta flora fauna negara — namun tidak ramai yang menghargainya.
Dalam budaya Melayu, wang bukan sekadar alat pertukaran, tetapi lambang kasih dan hubungan sosial — dari adat memberi sedekah dan salam duit raya hingga simbol cinta dalam pemberian mas kahwin dan hantaran. Tangan yang memberi dan tangan yang menerima menjadi ruang pertemuan rasa; di situlah makna sentuhan mencapai nilai spiritual dan sosialnya.
Barangkali inilah paradoks kehidupan moden: ketika manusia semakin canggih mencipta alat untuk ‘menyentuh’ dunia, kita sebenarnya semakin kehilangan makna sebenar sentuhan.
Naratifnya, kita tahu menggunakan wang, namun tidak memahami maknanya. Di setiap helaian kecil itu tersimpan kisah bangsa — wajah tokoh, bunga kebangsaan, dan tulisan Jawi yang menjadi saksi perjalanan sejarah. Tulisan jawi pada wang kertas bukan sekadar tipografi, tetapi warisan identiti yang menghubungkan bahasa, sejarah dan rasa kebangsaan.
Apabila generasi muda tidak lagi mengenali simbol pada wang mereka, yang hilang bukan sekadar pengetahuan visual, tetapi jati diri. Wang yang sepatutnya menghubungkan kita dengan akar budaya kini sekadar alat tukar — dingin tanpa makna.

Dalam keasyikan berhubung di ruang maya, kita terlupa bahawa kehangatan manusia lahir daripada hubungan fizikal — genggaman tangan, pelukan, atau sekadar menghulur wang di kaunter. Faktanya, sebelum manusia pandai bertutur, sentuhan adalah bahasa emosi pertama. Dalam budaya kita, kasih, simpati dan kepercayaan dizahirkan melalui bersalaman, menepuk bahu atau memeluk.
Kajian neurosains sosial menunjukkan sentuhan sebenar mengaktifkan bahagian otak yang sama dengan empati. Apabila komunikasi hanya berlaku melalui teks atau emoji, bahagian itu menjadi kurang aktif. Kajian dalam Nature Human Behaviour (2024) pula mendapati frekuensi sentuhan lebih penting daripada durasinya. Sentuhan ringkas tetapi kerap memberi kesan mendalam kepada kesejahteraan emosi.
Sentuhan juga meningkatkan penghasilan oksitosin — hormon kasih sayang yang menurunkan tekanan darah dan menenangkan sistem saraf. Apabila kehidupan kehilangan dimensi sentuhan, hormon ini menurun, lalu menjelaskan mengapa masyarakat moden semakin terdedah kepada kesunyian kronik, keresahan dan rasa terasing walau dikelilingi ramai orang.

Dalam tradisi Melayu, deria ini lama disemai sebagai nilai budaya — dari salam dan cium tangan yang membawa berkat hingga tepukan bahu tanda mesra. Setiap isyarat tubuh mempunyai makna emosi; kehilangan makna itu seolah-olah menghapus satu lapisan halus dalam tamadun rasa kita.
Menurut Prof. David J. Linden, pengarang Touch: The Science of Hand, Heart, and Mind (2015), deria sentuhan bukan sekadar isyarat fizikal tetapi bahasa emosi yang membentuk empati dan kepercayaan. Beliau menjelaskan, sentuhan interpersonal seperti pelukan, tepukan dan genggaman tangan menyumbang kepada pembentukan ikatan sosial dan keakraban.
“Antara rahsia yang mengikat pasangan untuk kekal, penyatuan keluarga, dan menjadikan manusia saling mempercayai adalah sentuhan,” jelas pakar neurosains dari Johns Hopkins University, Baltimore, Amerika Syarikat itu.
Beliau turut menegaskan, kekurangan sentuhan awal boleh membawa kesan emosi, psikologi dan fizikal — seperti masalah perkembangan atau disfungsi tubuh. “Bayi yang tidak menerima sentuhan penuh kasih, dunia awalnya menjadi dingin — bukan hanya di kulit, tetapi di jiwa,” katanya.
Justeru, bukan pelik apabila misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla baru-baru ini turut menjadi mangsa kecaman adiwira papan kekunci. Hilangnya empati di ruang maya mungkin juga kesan kehilangan deria sentuh — menjadikan manusia semakin dingin, mudah menghukum, dan cepat membenci.
Di platform media sosial, manusia seolah-olah menjadi tin kosong yang riuh — sibuk menilai, menghina dan menabur fitnah. Mungkin kerana apabila hilang deria sentuh, kita juga kehilangan keupayaan untuk benar-benar merasa dan memahami manusia lain.
Kepada anak-anak muda yang bekerja sebagai juruwang, jika pelanggan memberi wang kertas – terimalah dengan hati yang terbuka. Sapaan, anggukan, senyuman, dan ucapan terima kasih mencipta hubungan kecil yang menghidupkan nilai kemanusiaan yang semakin tipis dalam urusan harian.
Barangkali, antara jari dan wang kertas itulah dulu lahir rasa hormat, kejujuran dan kasih. Kini yang tinggal hanya skrin — licin, sejuk, dan tanpa jiwa. Bila kita berhenti menyentuh wang, mungkin kita juga berhenti menyentuh makna hidup.
*Najibah Hassan adalah penulis bebas yang berkongsi pandangan tentang budaya, kesihatan dan cerita kecil kehidupan, berbekalkan pengalaman panjang dalam dunia kewartawanan.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


