Malaysia  perkukuh kerjasama serantau keselamatan dalam talian, kepercayaan didgital

KEMENTERIAN Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menganjurkan Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (Ministers-Regulators Roundtable Meeting – MRRM) bersempena M360 ASEAN 2026, menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia dari rantau ini serta rakan pengawal selia antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama dalam keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital.

MCMC dalam kenyataan berkata, Mesyuarat Meja Bulat itu  menyediakan platform untuk bertukar pengalaman pengawalseliaan dan pendekatan praktikal dalam menangani kemudaratan dalam talian.

‘’ Tumpuan khusus (diberikan) terhadap perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital yang semakin merentasi sempadan, memperkukuh kebertanggungjawaban platform serta meningkatkan kerjasama antara bidang kuasa,’’ kata MCMC.

Menurut MCMC, perbincangan turut menampilkan pandangan daripada rakan pengawal selia antarabangsa, termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan Ofcom United Kingdom yang berkongsi pendekatan masing-masing terhadap pengawalseliaan keselamatan dalam talian, pengalaman pelaksanaan serta pengajaran daripada kerangka pengawalseliaan mereka.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil  berkata, sifat kemudaratan dalam talian yang tidak mengenal sempadan memerlukan kerjasama  lebih kukuh antara pengawal selia dan bidang kuasa.

“Kemudaratan dalam talian tidak terhenti di sempadan negara, begitu juga dengan tindak balas kita. Melalui MRRM, kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal yang berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,’’ katanya.

Beliau berkata, Mesyuarat Meja Bulat tersebut berlandaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia serta komitmen serantau yang dinyatakan dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN (Safe and Responsible Use of Social Media Platforms for ASEAN), yang menyeru kepada kerjasama dan ketelusan yang lebih erat serta perkongsian amalan baik dalam menggalakkan persekitaran digital yang lebih selamat.

“Kepelbagaian kita adalah satu kekuatan, namun jurang dalam kawal selia tidak seharusnya membuka ruang untuk eksploitasi. Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama.

”Platform telah membina ruang digital ini, dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penggunanya. Apa yang diperlukan sekarang ialah lebih banyak titik persamaan antara kerajaan dan pengawal selia, serta hala tuju yang lebih jelas ke arah tindakan serantau yang lebih teratur,” kata beliau.

 Fahmi berkata, walaupun pendekatan pengawalseliaan mungkin berbeza, kita berkongsi matlamat yang sama untuk membina persekitaran digital yang lebih selamat dan dipercayai.

‘’ Perbincangan hari ini telah memperkukuh asas untuk meneruskan kerjasama dalam menangani cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian,’’ katanya.

MCMC memaklumkan, peserta sebulat suara menegaskan komitmen untuk memastikan kanak-kanak dapat meraih manfaat daripada peluang digital, di samping mendapat perlindungan lebih baik daripada risiko dalam talian termasuk jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.

‘’Para perwakilan turut bersetuju bahawa ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan, menerusi sokongan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kawal selia yang berkesan, sokongan literasi digital ibu bapa yang lebih kuat dan akauntabiliti platform yang lebih kukuh bagi membina kepercayaan digital,’’kata MCMC.

Menurut MCMC, pada masa hadapan, MRRM akan terus menyediakan platform kepada pembuat dasar dan pengawal selia untuk bertukar pengalaman, membincangkan isu baharu berkaitan keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital, serta meneroka bidang kerjasama praktikal di peringkat serantau dan antarabangsa.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here