13 orang awam cedera dalam serangan Houthi di Arab Saudi

SEBANYAK 13 orang awam di Arab Saudi cedera selepas beberapa serangan dilancarkan militia Houthi dari Yemen, ketika amaran awal dikeluarkan di beberapa bandar pada Selasa pagi.

Kumpulan yang disokong Iran itu menyasarkan kawasan awam di Khamis Mushait, Abha dan Taif menggunakan peluru berpandu balistik serta dron pada Isnin.

Jurucakap Gabungan bagi Pemulihan Legitimasi di Yemen, Mejar Jeneral Turki Al-Malki, berkata serangan itu menyebabkan 13 orang awam mengalami kecederaan ringan hingga sederhana, selain merosakkan tujuh rumah dan dua kenderaan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial awal Selasa, beliau berkata pasukan gabungan terus memantau perkembangan berikutan serangan berkenaan.

Pertahanan Awam Arab Saudi turut mengeluarkan beberapa amaran keselamatan bagi penduduk di sejumlah bandar di bahagian barat dan selatan negara itu, termasuk Abha, Jeddah, Jazan, Taif, Yanbu, Makkah dan AlUla.

“Kumpulan militia pengganas Houthi terus melancarkan serangan kejam dan sengaja terhadap objek awam serta orang awam di Arab Saudi,” menurut kenyataan itu lapor Arab News.

Menurut gabungan berkenaan, serangan yang dilakukan secara berulang dan sengaja itu menunjukkan pendekatan kumpulan Houthi yang mengutamakan peningkatan konflik serta menyasarkan orang awam dan kemudahan awam.

Gabungan itu menegaskan pasukan bersamanya akan menangani serangan berkenaan secara “bertanggungjawab dan tegas” bagi melindungi kedaulatan Arab Saudi, kemudahan awam serta orang awam.

Minggu lalu, serangan militia berkenaan dilaporkan menyebabkan lebih 70 orang cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak, di beberapa bandar dan kawasan di seluruh Arab Saudi.

Pada Jumaat lalu, Arab Saudi turut menutup sementara saluran paip minyak East-West selepas beberapa serangan dron menyasarkannya di wilayah Riyadh dan Madinah.

Beberapa pertubuhan negara Teluk dan organisasi Islam mengutuk serangan terhadap saluran paip itu serta menyatakan solidariti kepada Arab Saudi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here