Suami isteri maut, tiga cedera kemalangan dengan lori

SEPASANG suami isteri maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan tiga motosikal di Jalan Gong Kedak, Besut, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozamei Ab Rahim berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 9.45 pagi ketika lori jenis Nissan Tipper dipandu lelaki berusia 57 tahun dalam perjalanan dari arah Jerteh menghala ke Bachok, Kelantan.

Katanya, pada masa sama, tiga motosikal jenis Aveta Nova 250 bergerak dari arah Kuala Besut menghala ke Perlis.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai memasuki laluan lori sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat perlanggaran tersebut, lori terbabas dan melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 41 tahun bersama isterinya berusia 45 tahun sebagai pembonceng menyebabkan kedua-dua meninggal dunia ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian sama, sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 51 tahun bersama isterinya berusia 50 tahun dipercayai terlanggar muatan kanan tanah yang terjatuh di permukaan jalan,’’ katanya.

Katanya, pemandu lori, penunggang motosikal wanita berusia 51 tahun serta penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 51 dan 50 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Mohd Rozamei berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767 atau mana-mana balai polis berhampiran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here