MALAYSIA menyokong penuh penubuhan mekanisme mampan yang berstruktur dan berfungsi, termasuk platform media khusus bagi mendokumentasikan serta mendedahkan pelanggaran Israel terhadap tempat suci dan para jemaah di Baitulmuqaddis, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tegasnya, Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah dan pelanggaran serius yang dilakukan tidak boleh diabaikan atau dianggap sebagai perkara biasa hanya kerana berulang kali berlaku.
Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Liga Negara-Negara Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Baitulmuqaddis di Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jumaat, lapor Bernama.
Beliau berkata Malaysia kekal berpandangan bahawa Baitulmuqaddis mesti terus menjadi teras perjuangan dan tindakan bersama umat Islam.
Seperti yang ditegaskan semula dalam Kenyataan Menteri Amman pada 5 Ogos, Mohamad berkata Baitulmuqaddis Timur merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT) dan ibu negara Palestin, selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 19 Julai 2024.
“Yang penting, Pendapat Nasihat sama turut menegaskan semula bahawa pendudukan Israel di OPT termasuk Baitulmuqaddis Timur adalah tidak sah,’’ katanya.
Mohamad menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis Timur.
“Sebarang usaha untuk mengubah identiti Arab, Islam dan Kristian kota itu atau ciri perundangan serta demografinya adalah tidak sah dan mesti ditolak dengan tegas,” katanya.
Malaysia turut mengecam keras peningkatan pelanggaran di Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif, termasuk pencerobohan berulang oleh puak ekstremis dan pegawai Israel, sekatan terhadap jemaah serta usaha berterusan untuk mengubah status quo sejarah dan perundangan.
“Provokasi ini berisiko mencetuskan konflik agama yang lebih luas dengan implikasi serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa,” kata beliau.
Mohamad berkata Malaysia menegaskan semula sokongan tidak berbelah bahagi terhadap penjagaan bersejarah Hashemite ke atas tempat-tempat suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, serta segala usaha untuk melindungi hak dan kehadiran rakyat Palestin di kota itu.
Beliau berkata Kota Suci Baitulmuqaddis (Al-Quds Al-Sharif) tidak boleh dilindungi hanya melalui kenyataan kebimbangan atau kecaman, sebaliknya memerlukan penyelarasan berterusan, tekad bersama dan tindakan tegas.
Mohamad berkata sudah tiba masanya “suara bersama kita diterjemahkan kepada tindakan bersama.”
“Kita mesti menggunakan segala cara yang perlu untuk memerangi dan menamatkan jenayah yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Ketika kita terus menuntut tindakan tegas Majlis Keselamatan PBB, kita juga boleh dan mesti mengambil tindakan sendiri, sama ada secara individu atau sebagai satu kumpulan.
“Kita menghargai negara-negara yang telah menggantung hubungan dua hala, perdagangan dan sosial dengan Israel serta mengalu-alukan sekatan yang dikenakan terhadap beberapa menteri ekstremis Israel, yang seharusnya diperluas kepada pemimpin Israel lain yang menghasut kebencian, menafikan kemanusiaan rakyat Palestin dan mencetuskan keganasan,” kata beliau.
Malaysia sekali lagi menggesa semua negara anggota menghentikan pembekalan senjata dan sokongan kewangan kepada Israel supaya tidak bersubahat dalam perang dan pendudukan haram, katanya.
“Sekali lagi, Malaysia menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan Kota Suci Baitulmuqaddis (Al-Quds Al-Sharif) dan perjuangan Palestin.
“Kami menegaskan semula solidariti dengan rakyat Palestin serta sokongan teguh terhadap hak mereka untuk menentukan nasib sendiri dan merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara,” katanya.
Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).





