Banjir besar: 50 daerah di Bangkok diisytihar kawasan bencana

KESEMUA 50 daerah di Bangkok diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas hujan lebat berterusan hampir 48 jam menyebabkan banjir besar, kesesakan lalu lintas dan gangguan terhadap aktiviti harian penduduk.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, menandatangani arahan itu hari ini, sekali gus memperluaskan pengisytiharan berkenaan daripada tiga daerah yang sebelum ini terjejas iaitu Nong Chok, Suan Luang dan Khan Na Yao.

Menurut pengumuman berkenaan, langkah itu membolehkan Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan bertindak dengan lebih pantas dan tersusun di kawasan terjejas.

Hujan lebat masih melanda beberapa kawasan ibu negara pada Sabtu, dengan bahagian timur Bangkok antara kawasan paling teruk terjejas.

Satu amaran melalui sistem siaran selular dihantar kepada penduduk sejurus selepas jam 9 pagi, memaklumkan paras air di beberapa terusan sudah mencapai tahap kritikal dan dijangka terus meningkat, lapor Bangkok Post.

Jabatan Meteorologi Thailand berkata, keadaan cuaca tidak menentu itu berpunca daripada sistem tekanan rendah yang kuat meliputi kawasan Central Plains bahagian bawah, Bangkok dan wilayah sekitarnya.

Monsun barat daya yang melanda Laut Andaman, selatan Thailand serta Teluk Thailand turut semakin kuat. Hujan lebat dijangka berterusan di seluruh negara sehingga Ahad. September merupakan bulan kemuncak musim hujan di Bangkok, namun jumlah hujan yang direkodkan tahun ini jauh lebih tinggi daripada biasa.

Menurut Jabatan Saliran dan Pembetungan BMA, Bangkok menerima 487 milimeter hujan antara 1 hingga 25 September, berbanding purata 269 milimeter bagi tempoh sama antara 1991 hingga 2020.

Paras air bagaimanapun mula stabil sekitar tengah hari Sabtu selepas stesen pam di seluruh bandar beroperasi pada kapasiti penuh. Kesemua stesen pam berkenaan mengeluarkan air pada kadar keseluruhan kira-kira 1,200 meter padu sesaat.

Chadchart berkata, sekiranya hujan berhenti, banjir dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk surut sepenuhnya.

“Jika hujan berhenti, dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari untuk mengalirkan keluar air banjir,” katanya dalam kemas kini yang disiarkan menerusi media sosial.

Beliau pada masa sama memberi jaminan bahawa keadaan tidak akan berulang seperti bencana banjir besar 2011 dan meminta penduduk supaya tidak panik.

Kenyataan itu dibuat ketika sebahagian penduduk mula membeli bekalan keperluan harian sebagai persediaan sekiranya keadaan banjir bertambah buruk. Sebuah pasar raya Makro di kawasan Ram Inthra dilaporkan sesak dengan orang ramai, manakala kawasan parkir turut dipenuhi kenderaan sehingga melimpah ke jalan. Mi segera, air minuman dan ikan dalam tin antara barangan yang memenuhi troli pelanggan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan Diraja Thailand meningkatkan secara berperingkat kadar pelepasan air dari Empangan Chao Phraya di wilayah Chai Nat kepada 1,950 meter padu sesaat, berbanding 1,850 meter padu sesaat sebelum ini.

Peningkatan itu bermula pada jam 9 pagi, dengan kadar pelepasan dinaikkan kira-kira 20 meter padu sesaat setiap jam sehingga mencapai 1,950 meter padu sesaat sekitar jam 2 petang.

Penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Chao Phraya, khususnya di hilir empangan serta kawasan sepanjang Sungai Noi, diminta memantau paras air dan pengumuman rasmi serta bersedia menghadapi sebarang perubahan keadaan.

Banjir dilaporkan berlaku di 20 wilayah iaitu Nakhon Ratchasima, Chanthaburi, Phetchabun, Chon Buri, Chachoengsao, Buri Ram, Surin, Sing Buri, Samut Prakan, Nakhon Sawan, Phichit, Rayong, Ang Thong, Chai Nat, Uthai Thani, Prachin Buri, Ayutthaya, Sa Kaeo, Phitsanulok, Suphan Buri dan Nakhon Phanom.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here