GRAND Prix (GP) Bahrain Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) awal bulan ini menjana impak ekonomi hampir RM950 juta.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, berkata berdasarkan angka daripada Formula 1 Management, acara pada 2 hingga 4 Oktober itu menarik kira-kira 261,000 peminat, termasuk dianggarkan 103,000 penonton pada hari perlumbaan.
Beliau berkata, perlumbaan itu turut ditonton oleh 827 juta penonton di seluruh dunia.
Menurutnya, lebih 97,000 tiket dijual, manakala lebih 50,000 pelancong antarabangsa dan kira-kira 5,000 pekerja asing datang ke Malaysia sempena penganjuran acara berkenaan.
“Kehadiran penonton dari luar negara turut meningkatkan pendapatan sektor pelancongan, perhotelan dan penerbangan, selain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Penganjuran ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan bertaraf dunia dan destinasi pelaburan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong).
Rodiyah meminta Kementeri Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan anggaran manfaat ekonomi yang diperoleh berbanding kos yang ditanggung kerajaan, selain bertanya sama ada penilaian kos dan manfaat akan dilaksanakan.
Bagaimanapun, Taufiq berkata, kerajaan masih belum menentukan sama ada penganjuran acara itu berbaloi kerana penilaian kos dan manfaat masih dijalankan.
Beliau berkata, SIC sedang melaksanakan penilaian berkenaan bersama firma perunding yang dilantik bagi meneliti kos penganjuran serta impak ekonomi perlumbaan itu.
“Dapatan penilaian kos dan manfaat itu akan menjadi antara pertimbangan kerajaan dalam menentukan kesesuaian Malaysia mempertimbangkan penganjuran F1 sekali lagi pada masa hadapan,” katanya.
Pada Julai lalu, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Bahrain Gulf Air dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar berikutan peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.





