Takbai : Fahami fakta sebenar bukan terhasut fakta songsang  BRN

Oleh : Penulis Khas

SETIAP kali menjelang 25 Oktober, puak pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) ‘akan berpesta’ kerana mereka mempunyai ‘modal besar’ bagi menghasut penduduk-penduduk Islam membenci pemerintah Thailand iaitu tarikh ulang tahun peristiwa Takbai.

‘Modal besar’ itu juga digunakan untuk melakukan serangan dan membunuh anggota keselamatan dan penduduk yang menyebelahi pemerintah atas alasan membalas dendam atas kematian 86 orang penduduk Islam.

Melalui fakta yang dipesongkan, BRN sejak 21 tahun lalu dari tarikh 25 Oktober 2004 peristiwa itu berlaku, ia dijadikan ‘modal besar’ untuk puak pemisah mencetuskan huru-hara di Selatan Thailand bagi membolehkan penduduk terus memperingati  tragedi berkenaan tanpa memberitahu apa sebenarnya berlaku.

Faktanya, kejadian tersebut berlaku adalah hasil daripada propaganda dan tipu helah BRN yang sanggup mempertaruhkan nyawa penduduk khususnya anak muda dengan memaklumkan kepada mereka ada sumbangan bantuan kuih sempena Ramadan.

Kesemua mangsa terlibat tidak tahu sama sekali bahawa istilah ‘pemberian bantuan’ itu adalah helah jahat BRN untuk mengumpul orang ramai bagi membolehkan mereka (BRN) melakukan provokasi mendesak enam orang pemimpin BRN yang ditahan polis dibebaskan.

Akibat hasutan dan tipu daya BRN, anak muda berkumpul di hadapai Balai Polis Takbai kononnya untuk mengambil bantuan Ramadan.

Melalui provokasi yang dilakukan keadaan menjadi tegang sehingga memaksa pihak polis dan tentera bertindak mengepung orang ramai yang ketika itu berjumlah sekitar 1,500 orang…majoriti anak muda. Percaya atau tidak, sama ada yang  ditahan mahupun meninggal dunia tidak ada seorangpun pemimpin BRN atau mereka yang ada kaitan dengan BRN.

Yang menjadi mangsa ialah anak muda yang hadir ke lokasi kejadian dalam keadaan berpuasa untuk mengambil bantuan Ramadan sepertimana dihebohkan. Akibat sikap pengecut BRN memperalat golongan itu sehingga mencetuskan peristiwa berdarah, sampai ke hari ini penduduk Islam percaya pemerintah Thailand bertanggungjawab terhadap kejadian berkenaan.

Kesudahannya ia  menjadi dendam kesumat yang tidak mungkin terhapus selagi nyawa di kandung badan dan seterusnya menjadi ‘modal besar’ kepada BRN untuk meniup sentimen bagi membangkitkan perasaan benci kepada pemerintah setiap kali menjelang 25 Oktober.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengambil kesempatan membangkitkan soal pampasan kononnya apa yang diberikan oleh pemerintah Thailand tidak setimpal kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan mereka yang tercedera.

Mengikut rekod sehingga hari ini, kerajaan Thailand telah membuat bayaran pampasan sebanyak 641.4 juta baht (RM83.232 juta)

Dari segi pecahannya untuk keluarga yang terbunuh 7.5 juta baht  (RM973,252 seorang),cedera 225,000 baht (RM29,197) seorang ,kecacatan kekal  4.50 juta baht (RM583,951) seorang, ditahan dan dibebaskan 30,000 baht (RM3,891) seorang.

Berdasarkan angka-angka itu ia menunjukkan pemerintah Thailand sudah mengeluarkan peruntukan besar kepada keluarga atau mangsa terlibat. Tindakan itu menunjukkan rasa tanggungjawab kerajaan negara itu terhadap tragedi yang berpunca daripada kecuaian pasukan keselamatan.

Sebagai tanda pertanggungjawaban, Thaksin Shinawatra yang menjadi Perdana Menteri ketika kejadian itu berlaku memohon maaf secara terbuka pada 24 Februari lalu. Beliau mengaku kesilapan yang telah dilakukan terhadap  penduduk Islam di wilayah Narathiwat berhubung pembunuhan beramai-ramai di daerah Tak Bai.

“Jika kesilapan telah dilakukan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat, saya ingin memohon maaf agar dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Dalam ucapannya kepada guru dan kakitangan lain di Sekolah Samphan Wittaya dalam daerah Cho Ai-rong, Narathiwat, Thaksin berkata, beliau mempunyai niat baik dan prihatin terhadap penduduk di selatan Thailand. “Namun, terdapat kesilapan yang dilakukan.’’.

Sebelum beliau berbuat demikian, pada 25 Oktober tahun lalu, anak Thaksin, Paetongtarn yang ketika itu masih menjadi Perdana Menteri Thailand menyatakan kekesalan dan memohon maaf berhubung tragedi Tak Bai.Permohonan maaf itu dbuat sempena  20 tahun peristiwa berkenaan.

Tempoh 20 tahun itu juga adalah had tempoh kes itu boleh disiasat dan mendakwa mereka yang terlibat bagaimanapun tiada individu dihadapkan ke mahkamah.

‘’Insiden ini berlaku 20 tahun lalu  dan saya telah menyemak pelbagai butiran berkaitan kes ini. Ia adalah peristiwa amat menyedihkan dan saya bersimpati dengan semua yang terkesan.

“Kerajaan berulang kali sejak 20 tahun lalu menyatakan kekesalan dan memohon maaf, sama ada pentadbiran Thaksin Shinawatra atau Jeneral Surayud Chulanont, serta bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra. Pampasan dan ganti rugi juga  telah disediakan.

“Sebagai Perdana Menteri sekarang, saya amat kesal dengan peristiwa ini dan bagi pihak kerajaan, saya memohon maaf dengan tulus ikhlas. Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan insiden serupa tidak berulang,’’ kata Paetongtarn.

Melalui pampasan bayaran mencecah puluhan juta ringgit  dan permohonan maaf dari empat Perdana Menteri Thailand, ia sudah membuktikan keikhlasan pemerintah Thailand untuk memastikan peristiwa Takbai tidak akan menjejaskan usaha kerajaan negara itu membangunkan Selatan Thailand dan mensejahterakan penduduknya.

Tetapi BRN tidak mahu itu berlaku, sebab itulah sejak 21 tahun lalu, puak pemisah berkenaan mahu memperalatkan peristiwa Takbai  sebagai ‘modal besar’ bagi mencapai agenda sempit dan songsang mereka.

Keadaan itu membuktikan BRN tidak ikhlas untuk memperjuangkan nasib penduduk Islam di Selatan Thailand. Kalau ikhlas sudah pasti mereka tidak akan menghasut penduduk untuk bangkit melawan pemerintah setiap kali mengingati peristiwa berkenaan.

Sebagai orang Islam, sepatutnya peristiwa Takbai diingati dengan mengadakan majlis  tahlil kepada mereka yang terkorban tetapi sebaliknya BRN menjadikan tragedi sebagai ‘senjata’ untuk ‘mengorbankan’ insan-insan tidak berdosa di Selatan Thailand melalui tindakan keganasan.

Kesimpulannya, sudah sampai masanya untuk penduduk memastikan peristiwa Takbai tidak lagi dijadikan ‘modal besar’ kepada BRN. Mereka harus berfikiran dengan rasional dan menilai keikhlasan pemerintah Thailand dalam menangani tragedi tersebut.

Jika pemerintah Thailand tidak ikhlas sudah pasti mereka tidak akan memberi sebarang pampasan kepada mangsa-mangsa terlibat dan mereka juga tidak peduli apa akan berlaku di Selatan Thailand. Tetapi pemerintah Thailand tidak mahu mengikut rentak BRN.

Mereka tetap berusaha memastikan keamanan dapat diwujudkan di wilayah itu sekaligus akan membolehkan meningkatkan taraf kehidupan penduduk-penduduk Islam. Ini berbeza dengan BRN cakap berdegar-degar mahu membela golongan itu tetapi rundingan proses damaipun tak berani hantar pemimpin sebenarnya berunding.

Harapan banyak pihak ialah agar rakyat di kawasan tersebut memahami bahawa peristiwa Takbai adalah kesilapan pada masa lalu yang menjadi pengajaran penting bagi kerajaan Thailand. Pada masa kini, berdasarkan pemantauan, kerajaan Thailand telah menggunakan pengajaran tersebut untuk menetapkan garis panduan dan pelaksanaan yang ketat dalam operasi pegawai tentera di wilayah sempadan selatan, terutama berkaitan isu pelanggaran hak asasi manusia.

Kejadian Takbai adalah tragedi yang menyedihkan dan tidak mahu kejadian sedemikian berlaku lagi. Kerajaan melakukan segala usaha untuk memutuskan kitaran tersebut, tetapi BRN sedang menipu kaum remaja untuk terjerumus ke arah itu berulang kali dengan menghasut isu yang telah selesai dengan harapan supaya kaum remaja menjadi perisai manusia bagi pemimpin dan membawa keuntungan kepada puak pemisah tersebut.


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img