KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran parti Perikatan Nasional (PN) membuktikan bahawa kepimpinan gabungan itu yang dipimpin oleh Pas telah melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta Perlembagaan PN sendiri.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, alasan dan keterangan yang diberikan oleh Pas semasa siasatan RoS terbukti tidak berasas serta gagal memenuhi kehendak undang-undang.
Berikut adalah teks penuh kenyataan media Mohamed Azmin:
PEMBATALAN PENDAFTARAN PERIKATAN NASIONAL
Keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional membuktikan bahawa Perikatan Nasional yang dipimpin oleh PAS telah melanggar Akta Pertubuhan 1966, peraturan-peraturan berkaitan serta Perlembagaan Perikatan Nasional.
Alasan dan keterangan yang diberikan oleh PAS dalam siasatan yang dijalankan oleh JPPM terbukti tidak berasas dan tidak memenuhi kehendak undang-undang dan Perlembagaan Perikatan Nasional.
Tindakan kepimpinan Perikatan Nasional yang dipengerusikan oleh PAS menafikan hak BERSATU untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Julai 2026 adalah satu kesalahan yang ‘fatal’ dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti Perikatan Nasional. Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan dampaknya akan menghancurkan masa depan Perikatan Nasional.
Kepimpinan Perikatan Nasional yang mengenepikan amalan urus tadbir yang balk dan telus telah menimbulkan keadaan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman (threat) dan tekanan untuk melucutkan keanggotaan dan menggugurkan BERSATU sebagai Parti Anggota yang sah dalam Perikatan Nasional melalui kuasa ‘veto’ oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi Perikatan Nasional.
Kenyataan media BERSATU pada 25 September 2026 mengesahkan bahawa BERSATU telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos 2026. BERSATU tuntas memberikan penjelasan berfakta dan bukti-bukti yang menunjukkan bahawa kepimpinan Perikatan Nasional telah menafikan hak BERSATU seperti dijamin oleh Perlembagaan Perikatan Nasional dan seterusnya melanggar peruntukan dalam Akta Pertubuhan. Keputusan JPPM hari ini sekaligus membuktikan bahawa BERSATU berada di pihak yang benar untuk menyelamatkan Perikatan Nasional.
Aduan yang dibuat oleh BERSATU pada 11 Ogos 2026 adalah bertujuan untuk memastikan Perikatan Nasional diurus dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan berintegriti serta mematuhi semua kehendak undang-undang dan Perlembagaan Parti.
Perikatan Nasional tidak boleh dibenarkan menjadi tempat berteduh kumpulan yang rakus kuasa politik dan cuba ‘hijack’ jenama Perikatan Nasional yang sederhana, progresif dan cakna rakyat Malaysia. Hari ini, PAS dan sekutunya memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan cuba meraih simpati menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
Hentikan propaganda dan politik identiti yang melampau. Hakikatnya, PAS gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan. Sesungguhnya, mengenepikan kebenaran adalah perbuatan yang tercela.
Walaupun keputusan JPPM hari ini amat berat diterima oleh BERSATU kerana BERSATU adalah ‘founding member of Perikatan Nasional’ dan telah berjaya meletakkan asas kukuh sebuah perjuangan, namun BERSATU sebagai Anggota Parti yang sah menerima kenyataan bahawa Perikatan Nasional mesti melaksanakan tanggungjawab selaras dengan Perlembagaan Perikatan Nasional dan Akta 832 bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang serta kelangsungan tadbir urus parti yang teratur dan sah.
BERSATU akan meneliti keputusan penuh JPPM dan akan membincangkan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU mengenai langkah-langkah seterusnya untuk membina semula keyakinan rakyat kepada sebuah gabungan parti-parti politik yang sederhana, membawa politik nilai dan membina gagasan baru demi Malaysıa yang sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Sefiausaha Agung
20 Oktober 2026





