PREMIER Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengumuman itu dijangka dibuat menerusi sidang media khas yang dijadualkan berlangsung pada jam 3.30 petang di Dewan Perdana, Aras 1, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya di Kuching.
Pejabat Premier Sarawak menerusi surat jemputan kepada media pagi ini memaklumkan bahawa semua wakil media dijemput menghadiri dan membuat liputan sidang media khas berkenaan.
Sidang media itu dijangka berlangsung selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dijadualkan diadakan selepas solat Jumaat hari ini, lapor BH.
Perkembangan itu dijangka menjadi tumpuan susulan spekulasi mengenai pembubaran DUN Sarawak yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Sekiranya DUN dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian mengikut tempoh serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Sementara itu, semua wakil media yang hadir diminta memakai dan mempamerkan Kad Perakuan Media yang sah serta berdaftar sepanjang berada di Kompleks Satria Pertiwi bagi tujuan pengesahan identiti dan pematuhan prosedur keselamatan.
Media juga diminta mengemukakan nama penuh serta nama agensi masing-masing selewat-lewatnya jam 12 tengah hari ini bagi melancarkan urusan pendaftaran dan kemasukan ke kompleks berkenaan.
Wakil media turut diminta berada di lokasi selewat-lewatnya jam 2.30 petang, iaitu satu jam sebelum sidang media bermula, bagi membolehkan urusan pemeriksaan keselamatan, pendaftaran dan persiapan liputan dilakukan.
Tumpuan kini terarah kepada sidang media khas itu bagi mendapatkan pengesahan rasmi daripada Premier Sarawak mengenai status DUN negeri berkenaan serta perkembangan lanjut berkaitan PRN Sarawak.





