Isu Waze: Kerajaan cari alternatif tanpa kompromi soal kedaulatan – Anwar

KERAJAAN sedang mencari penyelesaian alternatif bagi penggunaan aplikasi navigasi Waze tanpa perlu tunduk kepada sistem dan undang-undang Israel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan dibuat berasaskan prinsip mempertahankan kedaulatan dan maruah negara, selain pendirian Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin.

Anwar mengakui keputusan itu menimbulkan kesulitan kepada pengguna dan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki, namun kerajaan akan berusaha mencari penyelesaian terbaik.

“Saya bersedia bertanggungjawab. Dan kalau ini sedikit menyulitkan, saya mohon maaf dan kita akan cari jalan untuk menyelesaikan tanpa tunduk kepada sistem yang dibuat oleh Israel dan keduanya, tanpa tunduk kepada undang-undang Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Stadium Hang Jebat di Melaka malam ini.

Menurut Anwar, keputusan berkenaan bukan semata-mata berkaitan hubungan aplikasi itu dengan syarikat dari Amerika Syarikat atau Israel, sebaliknya mengambil kira kedudukan Waze yang berdaftar di Israel dan tertakluk kepada undang-undang negara itu berdasarkan perjanjiannya.

Katanya, kerajaan perlu meneliti implikasi penggunaan aplikasi berkenaan dan tidak boleh mengetepikan soal kedaulatan negara hanya demi kemudahan pengguna.

“Apakah saya nak tolak ansur orang kena bunuh, tanah dirampas oleh Israel, hanya nak jalan selamat, nak cari jalan yang tepat?,” tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan menerusi penjawat awam dan syarikat berkaitan sedang berusaha mengenal pasti alternatif yang bersesuaian bagi menangani isu itu.

Anwar berkata, pendirian berkenaan mencerminkan prinsip Malaysia sebagai negara merdeka yang bermaruah, khususnya dalam menyuarakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Ini erti kemerdekaan! Ini erti negara yang bermaruah! Ini erti bila kita bawa mesej bela nasib warga bangsa Gaza ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here