‘’Saya hampir pasti soal sakau akan ditimbulkan lagi’’- Zahid

BARISAN Nasional (BN) malam ini yang mengumumkan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam PRN negeri itu pada 14 November ini mengingatkan jentera parti untuk berhadapan dengan fitnah parti lawan.

Pada PRN tersebut BN mengesahkan bahawa gabungan itu menjalin persefahaman dengan Pas yang akan bertanding tujuh kerusi.

Pengerusi  Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjangka isu ‘sakau’ akan lebih kerap dibangkitkan pihak lawan sepanjang kempen PRN itu

Sehbungan itu beliau yang Presiden UMNO mengingatkan jentera BN supaya menggunakan media sosial untuk menjawab tuduhan serta fitnah yang dilemparkan bagi memastikan ia tidak mempengaruhi pengundi.

“Saya hampir pasti soal penyakauan akan ditimbulkan lebih kerap lagi. Biarlah kita difitnah dan dilempar dengan tuduhan. Namun lawan tetap lawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon BN di MITC, Melaka.

Beliau berkata, perjuangan BN bukan hanya tertumpu kepada gerak kerja di lapangan, malah turut melibatkan ruang dalam talian seperti Facebook, TikTok dan Threads.

“Jadi kalau setiap seorang daripada kita bangkit menjawab fitnah, saya yakin kita boleh benamkan ‘ceplos-ceplos’ ini habis-habisan,” katanya.

Ahmad Zahid turut  mengingatkan jentera BN supaya tidak terlalu yakin untuk meraih kemenangan di Melaka hanya berdasarkan kejayaan parti itu di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kemenangan BN di Johor dan Negeri Sembilan memberikan suntikan keyakinan, namun ia bukan jaminan parti itu akan mengulangi kejayaan sama di Melaka.

“Ini bukan masa untuk bersenang-senang. Ini bukan masa untuk bertengkar sama sendiri. Percayalah, kemenangan tidak datang bergolek. Kemenangan hanya akan menjadi milik kita apabila kita terus bekerja menawan hati rakyat dan menyatukan sokongan rakyat bersama BN,” katanya.

Beliau mengingatkan calon yang terpilih supaya tidak berasa megah atau hanya menjaga kelompok sendiri, manakala mereka yang tidak terpilih pula tidak seharusnya berkecil hati sehingga menarik diri daripada membantu parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRN Melaka pada 14 Nov, dengan penamaan calon pada 31 Okt dan undi awal pada 10 Nov.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here