
PENULIS sama sekali tidak terkejut dengan pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai kemelut politik dalaman Bersatu.
Dari awal lagi, penulis sudah jangkakan segala pekung akan terdedah, segala kepincangan akan terbongkar apabila Bersatu membuat keputusan memecat Wan Saiful dan menggantung Wan Fayhsal.
Kedua-dua mereka bukan ahli biasa yang mungkin tidak mengetahui hiruk pikuk, sepak terajang politik yang sedang berlaku di peringkat kepemimpinan. Sebaliknya Wan Saiful adalah bekas Ketua Penerangan (2020 hingga 2025) manakala Wan Ahmad Fayhsal adalah Ketua Armada (2020-2024).
Oleh itu apabila mereka mendedahkan apa yang terjadi di dalam parti sudah pasti ia bukanlah satu rekaan sebaliknya ia adalah fakta yang sepatutnya menjadi panduan kepada barisan kepimpinan dan ahli Bersatu untuk mengatur langkah bagi mengelakkan ‘bahtera Bersatu’ karam dalam usia tidak sampai 10 tahun.
Sejak awal lagi, penulis sudah menyatakan bahawa tindakan ke atas kedua-dua ahli Parlimen itu akan menghuru-harakan parti. Kini imej Bersatu terjejas dan akan menjadi lebih teruk jika Bersatu melakukan tindakan untuk memecat Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ada cakap-cakap kedudukan Hamzah masih belum selamat. Bila-bila masa beliau akan dipecat daripada Bersatu. Kalau tidak sekarang, mungkin selepas PRN Sabah. Apakah mungkin jika prestasi Bersatu di Sabah tidak memberangsangkan, ia akan dijadikan alasan untuk menyingkirkan Hamzah, biarpun beliau sudah banyak berkorban di PRN itu?
Mungkin ada yang akan berhujah kepada penulis jangan dengar ‘cakap-cakap. Tetapi penulis nak ingatkan dunia politik ni macam dunia artis juga…nafi sana nafi sini…tetapi last-last betul. Kalau yang ada bukti terang-terangpun boleh dinafikan, apatah lagi kalau sekadar cakap-cakap.
Cuma Bersatu perlu waham, kalaulah memecat ketua bahagianpun ada kesannya, memecat ahli Parlimen ada akibatnya, apatah lagi jika memecat seorang Timbalan Presiden tanpa alasan yang kukuh.
Penulis hanya menyatakan fakta apa yang akan terjadi jika Bersatu merasakan pemecatan Hamzah tidak akan mendatangkan mudarat kepada parti tersebut. Mungkin ia akan menyempurnakan agenda politik pemimpin tertentu, mungkin ia kononnya akan ‘membersihkan’ parti dan mungkin ia akan memastikan di dalam Bersatu tidak ada lagi kelompok ‘kelikil dalam sepatu’.
Tetapi soal lebih besar adakah pemimpin yang tinggal akan mampu memastikan Bersatu menang seperti PRU-15? Adakah pemimpin yang ada bersedia mengeluarkan wang poket sendiri demi parti tanpa beri alasan ‘aku tak ada duit’? Adakah pemimpin yang ada akan mendapat sokongan padu daripada Pas termasuk menjadi calon PM?

Adakah pemimpin yang ada akan yakin bahawa Pas tidak akan tinggalkan PN? Adakah pemimpin yang ada tidak mempunyai apa-apa isu yang boleh dijadikan modal kepada pihak lawan?
Oleh itu penulis percaya sebagai seorang yang berpengalaman dan telah menempuh jatuh bangun dalam politik, pernah dipecat daripada parti, pernah diberi peluang oleh Allah SWT untuk menjadi perdana menteri dan kini sedang diuji, Muhyiddin pasti mampu membuat keputusan terbaik demi Bersatu dan Perikatan Nasional.
Dalam membuat keputusan, Muhyiddin perlu mempertimbangkan semua pandangan sama ada dari dalam mahupun luar parti, dari lawan mahupun kawan. Janganlah yang dianggap lawan itu harus dijauhi dan yang dianggap kawan itu boleh dipercayai.
Muhyiddin perlu sedar, situasi politik sekarang sudah berbeza berbanding sebelum PRU-15. Kejayaan dalam pilihan raya tersebut tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghadapi PRU-16.
Selain pelbagai persepsi yang menghantui Muhyiddin, Bersatu sendiri masih lagi lemah di peringkat akar umbi. Parti itu masih bergantung kepada Pas untuk terus ‘bernyawa’ dalam pilihan raya. Muhyiddin pun tahu selama ini siapa di dalam Bersatu yang sedang berusaha memperkukuhkan Bersatu dan bersedia berkorban apa sahaja demi parti tersebut, biarpun tidak dihargai.
Muhyiddin juga boleh menilai siapa dalam Bersatu hanya pandai bercakap, menyerang sana, menyerang sini bukannya memperkukuhkan parti tetapi menghuru-harakan parti.
Paling penting Muhyiddin pun tahu sejauh manakah kemampuan beliau untuk memastikan Bersatu boleh mengulangi kejayaan seperti mana PRU-15. Percayalah Bersatu tidak akan mampu mengulangi sejarah itu hanya dengan berilusi soal sokongan rakyat dan terus bernostalgia dengan kejayaan silam. Semua itu sudah jadi sejarah, ibarat seorang insan ‘dulu abah kini sudah jadi atok’ – pasti ada bezanya.
Apa yang terjadi di dalam Bersatu sekarang turut menggugat kedudukan Perikatan Nasional. Jika sebelum ini ada yang menaruh harapan PN boleh memberi cabaran kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tetapi kini harapan itu semakin tidak menentu.
Tambahan pula sudah ada pandangan bahawa lebih baik kekalkan sahaja PH-BN dalam PRU-16 daripada memilih PN yang tidak stabil disebabkan perpecahan dalam Bersatu.
Oleh itu penulis juga percaya Pas tidak akan duduk diam. Mereka pasti akan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan ‘bahtera PN’ yang kini tergugat disebabkan ‘kekecohan’ yang dicetuskan oleh ‘anak-anak kapal’ Bersatu’.
Penulis bukanlah menyalahkan Muhyiddin terhadap apa yang berlaku dalam Bersatu tetapi apa yang menjadi masalah, Muhyiddin dilihat oleh pelbagai pihak tidak mampu menangani apa yang terjadi. Persepsi ini akan menjejaskan Bersatu dan PN dalam pilihan raya.
Kalau dahulu Muhyiddin menyaksikan bagaimana Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak meletakkan jawatan demi UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur demi Bersatu, mungkin Muhyiddin boleh memikirkan langkah seterusnya demi masa depan parti yang beliau asaskan.
Bukan apa…bimbangnua.. jika Muhyiddin tidak tahu atau masih menunggu untuk membuat keputusan,nanti ada pihak lain yang akan ‘menunjukkan’ apa yang patut bekas Perdana Menteri itu buat.


