LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan meneliti cadangan supaya individu berusia 60 tahun ke atas diberikan kelayakan automatik untuk menunaikan ibadah haji menerusi pakej muassasah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata ketika ini, TH masih mengekalkan dasar “daftar awal, ditawar awal” dalam menentukan giliran menunaikan haji.
“Polisi sekarang ialah siapa yang daftar dahulu, dia akan didahulukan. Namun saya faham isu berkaitan usia ini, dan insya-Allah usul berkenaan akan dibincangkan serta dipertimbangkan oleh TH,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim Haji 1447H/2026M di Sepang hari ini.
Semalam, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan supaya warga emas berumur 60 tahun ke atas diberikan kelulusan automatik untuk menunaikan haji melalui muassasah tanpa perlu membuat rayuan dan membayar kos penuh sebanyak RM33,300.
Ditanya maklum balas terhadap syarat kesihatan lebih ketat yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi musim haji akan datang, Mohd Na’im berkata langkah itu bertujuan menjaga kebajikan jemaah sepanjang tempoh menunaikan rukun Islam kelima.
Beliau menasihatkan bakal jemaah haji yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji musim 1447H/2026M, untuk memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik bagi melepasi pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan.
“Jadi, saya ingat apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang akan menunaikan haji tahun depan ialah menjaga kesihatan mulai sekarang, supaya apabila pemeriksaan dijalankan, kita dapat melepasi saringan tersebut. Itu yang kita harapkan, tetapi kalau tidak lepas, mungkin ada rezeki lain yang Allah sudah tetapkan,” katanya.
Untuk rekod berdasarkan maklumat TH sebanyak lapan peratus daripada lebih 4 juta mereka yang berdaftar haji, terdiri daripada warga emas.
Sementara itu beliau mengingatkan bakal jemaah haji membuat semakan terlebih dahulu dengan TH sebelum menerima sebarang tawaran menunaikan ibadah itu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata tiada individu atau syarikat dibenarkan mengendalikan urusan haji tanpa kebenaran rasmi daripada TH seperti diperuntukkan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Saya merayu kepada mereka yang berhasrat menunaikan haji pada tahun akan datang untuk semak terlebih dahulu. Tidak salah kalau kita mengambil masa sedikit untuk bertanya (buat semakan dan pengesahan).
“Kerana akhirnya kita tak ditipu, sebab di luar sana ada sahaja individu cuba hendak menipu dan mengambil peluang mencari keuntungan,” katanya.
Mohd Na’im berkata walaupun pelbagai peringatan telah dikeluarkan, masih terdapat individu tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan menipu dan mengaut keuntungan mudah melalui tawaran haji tidak sah.
“TH juga akan terus menasihatkan orang ramai melalui pelbagai platform termasuk media sosial dan saya berharap media turut membantu menyebarkan peringatan supaya tiada jemaah menjadi mangsa,” katanya.
Mohd Na’im berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan dengan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh tindakan membanteras aktiviti penipuan berkaitan haji, yang turut melibatkan TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“TH (dan) MOTAC ada di situ, jadi jawatankuasa khas ini akan memastikan mana-mana syarikat dan individu yang cuba untuk melakukan penipuan dikenakan tindakan,” katanya.
Mohd Na’im berkata kerajaan memandang serius isu penipuan haji dengan langkah memperketat denda serta hukuman sedang diteliti bagi mengekang kegiatan itu.
“Pendekatan ini termasuk memastikan denda yang dikenakan kepada syarikat tidak bertanggungjawab akan lebih tinggi. Tetapi itu kuasa mahkamah untuk menentukan,” katanya.


