PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat memanfaatkan kekuatan dan pengalaman sedia ada sekiranya diberi peluang untuk terus mentadbir, selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan bagaimanapun akui bahawa komposisi kerajaan selepas pilihan raya bergantung pada keputusan pilihan raya dan sokongan rakyat kepada parti-parti politik.
Anwar berkata demikian pada program ‘Dialog Negara’, yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam tadi.
Anwar berkata beliau mencintai Malaysia, dan meyakini keupayaan negara.
“Saya meletak harapan tinggi kepada anak-anak muda dan saya mahu Malaysia ini sekarang diangkat menjulang menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan dunia,” katanya lapor Bernama.
Sementara itu, Anwar meminta semua pihak bersabar mengenai tarikh PRU16, susulan desakan segelintir pihak supaya Parlimen dibubarkan.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru masyarakat supaya menilai hujah berkaitan agama berlandaskan ilmu dan fakta, untuk membezakan hukum agama dengan pandangan politik yang boleh berubah mengikut kepentingan.
Katanya, pendekatan dakwah sebenar berteraskan penguasaan ilmu, namun terdapat pihak menjadikan agama sebagai alat politik sehingga mengelirukan masyarakat.
“Kadang-kadang dalam politik itu dua tahun sekali diubah fatwanya, tetapi orang anggap benda ini daripada tok guru, dia ikut betul. Padahal ini pandangan politik,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai media sosial di mana sesiapa sahaja boleh menampilkan diri seolah-olah pakar dan mengeluarkan tafsiran sendiri berhubung isu agama.
Beliau menyeru masyarakat supaya membudayakan sikap menyemak, menilai, dan membahaskan sesuatu pandangan berdasarkan sumber serta fakta yang jelas, tanpa mengira sama ada dikemukakan pembangkang atau pemimpin kerajaan.





