Tiga pegawai tentera hadapi tiga pertuduhan berbeza di mahkamah Kuala Lumpur, Shah Alam

*Perisik tentera didakwa terima upah RM34,500

SEORANG pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menerima suapan RM34,500 sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan barangan dari negara jiran, Julai lepas.

Pegawai berusia 53 tahun itu didakwa sebagai Ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf, Perisikan Pertahanan Malaysia menerima suapan tersebut melalui dua individu sebagai upah tidak melaporkan aktiviti penyeludupan di Kota Tinggi, Johor yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominum di Jalan Dua, Chan Sow Lin di Kuala Lumpur pada Julai 2025 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM6,000 atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik dan tidak pernah gagal melaporkan diri kepada SPRM sepanjang siasatan.

“Tertuduh masih perlu menjalankan tugas seperti biasa dan memerlukan pasport untuk membolehkannya ke luar negara. Saya memohon pihak media tidak mendedahkan nama tertuduh berikutan kedudukannya sebagai pegawai risikan pertahanan terlibat dalam operasi sensitif,” katanya.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan berkaitan nama itu dan menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

“Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi dia perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali perlu bertugas ke luar negara,” katanya.

Beliau menetapkan 2 Dis untuk sebutan semula kes

*Pegawai TLDM mengaku tak bersalah ambil rasuah RM93,800

DI SHAH ALAM,Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas lapan pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM93,800, sejak Oktober 2023 hingga April lepas.

Kapten Mahazam Ali, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Mahazam sebagai Pengarah Strategi Sumber Manusia, Bahagian Sumber Manusia dan Pengarah Cawangan Komunikasi, Bahagian Siber Elektromagnetik Pertahanan, didakwa menerima benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM10,000, RM13,000, RM10,000, RM11,800, RM10,000, RM14,400, RM12,800 dan RM11,800 antara 13 Oktober 2023 hingga 25 April 2025.

Wang tersebut didakwa diterimanya daripada seorang lelaki berusia 33 tahun melalui seorang wanita berusia 31 tahun, di sebuah bank cawangan Shah Alam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanja Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM), Atirah Mohd Azuarizanuddin, mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM berdekatan.

Peguam Lee Keng Fatt memohon jaminan berjumlah RM5,000 dengan alasan lelaki itu perlu menanggung anak berusia 22 tahun yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam, serta menanggung ibu berusia 84 tahun yang menghidap demensia serta memerlukan perbelanjaan rawatan berkala.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan jaminan RM10,000 dan Mahazam diperintah tidak mengganggu mana-mana saksi termasuk rakan sekerja di Kementerian Pertahanan, serta dilarang mengakses sebarang fail dan data yang mempunyai kaitan dengan kes.

Sebutan semula kes ditetapkan 17 Disember depan.

*Pegawai TUDM dan isteri didakwa pegawai atas kontrak LIMA

DI MAHKAMAH SESYEN SHAH ALAM juga, Seorang pegawai TUDM didakwa di atas tuduhan bersubahat dengan isterinya untuk memperdaya pegawai pasukan itu bagi memperoleh kontrak perolehan sempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, Mei lalu.

Shahrul Nizam Shaf’in, 51, yang digantung tugas sebagai ketua penolong setiausaha Bahagian Industri Pertahanan TUDM, didakwa bersubahat dengan isterinya, Citra Angrini Alam Mappiase, 36, iaitu pemilik syarikat Protective Trading & Advisory Services.

Shahrul Nizam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Menurut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Citra Angrini untuk memperdaya Ketua Staf di Markas Pemerintahan Operasi Udara Subang Norli Hisham Alwi, dengan mengemukakan sebut harga palsu bernilai RM24,200 di Jalan Kenyalang 11/13, Bayu Damansara, Kota Damansara, 13 Mei lalu.

Tindakan itu didakwa bertujuan memperdaya Norli untuk meluluskan D Draxis Group Sdn Bhd sebagai pembekal alat sokongan bagi penugasan LIMA 2025.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 417, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Turut didakwa anggota bahagian perolehan TUDM Subang, Mohamad Amir Bakri Che Abdul, 32, yang tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Pada prosiding itu, Citra Angrini juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim sama.

Wanita itu difahamkan sedang hamil lima bulan dan mempunyai empat anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi. Shahrul Nizam dan Citra Angrini diwakili peguam Tunku Muhammad Sulaiman Tunku Harmy manakala Mohamad Amir tidak diwakili peguam.

Nasir menetapkan jaminan RM7,000 masing-masing kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir, manakala RM8,000 terhadap Citra Angrini.

Beliau juga menetapkan 8 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


 

UNDILAH

[socialpoll id=”2974793″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img