Yakin MADANI platform penting kerajaan dengar maklum balas rakyat – PM

PROGRAM Yakin MADANI menjadi platform penting untuk kerajaan mendengar pandangan, mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti permasalahan sebenar yang dihadapi rakyat pada peringkat akar umbi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program seumpama itu juga dapat memberikan ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan mereka, dan menyampaikan isu yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Perdana menteri, menteri tahu semua masalah? Boleh jawab? tak … sebab itu kita ada majlis-majlis seperti ini untuk mendengar, maklumat itu dicatat oleh pegawai dan disampaikan kepada kita,” kata beliau ketika berucap merasmikan program Yakin MADANI yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat” di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said.

Anwar berkata pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan rakyat perlu menjadi sebahagian daripada tanggungjawab pemimpin bagi memahami keadaan sebenar kehidupan masyarakat

Beliau turut berkongsi pendekatannya mengunjungi gerai dan warung ketika berada di kawasan tertentu bagi mendapatkan maklumat mengenai kehidupan harian rakyat, termasuk kos perniagaan, kemudahan awam dan permasalahan setempat.

“Kita lihat sendiri, projek ada, dana ada tetapi tanya sendiri macam perniagaan. Jual nasi lemak macam mana harga? Dia kata naik sedikit. Berapa sewa? Jadi kita dengar sendiri. Itu bagi saya, saya belajar kerana saya tak dapat semua maklumat dari majlis rasmi,” kata beliau.

Anwar berkata maklum balas daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, serta pandangan dikemukakan menerusi sesi dialog bersama pelbagai pihak perlu diberikan perhatian, dan diambil kira oleh kerajaan dalam merangka dasar serta menyalurkan bantuan bersesuaian bagi menangani permasalahan dihadapi.

Beliau berkata pendekatan mendengar pandangan masyarakat perlu diteruskan supaya pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan dan benar-benar memenuhi keperluan golongan sasaran.

Anwar berkata pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bahan api serta program Jualan Rahmah sebagai antara inisiatif yang bertujuan meringankan beban rakyat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata program Yakin MADANI juga penting bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan sebenar mengenai usaha dan komitmen kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup serta melaksanakan bantuan dan pembangunan untuk masyarakat.

Pada majlis berkenaan, Anwar turut merasmikan peluncuran MyKomuter50 bersempena dengan program Yakin MADANI.

Program Yakin MADANI yang diadakan di lima lokasi terpilih di seluruh negara bermula hari ini, dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat.

Yakin MADANI turut membuka ruang interaksi dua hala antara masyarakat dengan wakil kementerian dan agensi kerajaan, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, menikmati kemudahan serta menyelesaikan urusan secara langsung

Program Yakin MADANI Peringkat Negeri Sembilan diterajui Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, dan menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Pelbagai perkhidmatan kerajaan, pameran interaktif serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung pada program berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here