PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) menggesa kerajaan agar mengkaji semula cadangan untuk menggabungkan IJM Corporation Berhad (IJM Corp) dan Sunway Berhad (Sunway) yang dilihat berpotensi menggugat pegangan ekonomi Bumiputera serta keseimbangan ekosistem perniagaan negara.
Menurut persatuan itu, sekiranya penggabungan ini diluluskan tanpa kawalan sewajarnya, pegangan Bumiputera dalam IJM Corp berisiko jatuh di bawah 25 peratus, sekali gus menjejaskan suara dan kuasa ekonomi rakyat dalam sektor strategik negara.
Presiden Perdasama, Mohd Azamanizam Baharon berkata, langkah penggabungan ini bukan sahaja menyalahi semangat Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) dan Ekonomi Madani, malah boleh mengundang ketidakseimbangan pasaran di mana peluang kontraktor kecil dan syarikat Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan semakin mengecil akibat dominasi konglomerat besar.
“Perdasama memandang serius amaran yang pernah disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak menjual atau menyerahkan aset strategik rakyat kepada segelintir golongan maha kaya.
“Untuk itu, Perdasama menzahirkan pendirian tegas tidak bersetuju terhadap cadangan penggabungan antara IJM Corp dan Sunway kerana IJM Corp bukan sekadar sebuah syarikat korporat biasa, ia adalah lambang penyertaan rakyat Malaysia khususnya Bumiputera dalam sektor pembinaan dan infrastruktur negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Sunway sedang meneroka penggabungan dengan IJM Corp yang akan membentuk sebuah kuasa besar kejuruteraan dan pembinaan.
Memetik sumber pasaran, portal itu menyebut, penggabungan Sunway dan IJM Corp akan membabitkan pertukaran saham dalam urus niaga yang dikatakan bernilai berbilion ringgit, mengambil kira aset, penilaian dan permodalan pasaran kedua-dua syarikat terbabit.
Antara pemegang saham utama IJM Corp termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji dan Amanah Raya Berhad, institusi yang memegang amanah dan simpanan jutaan rakyat Malaysia.
Menurut Mohd Azamanizam, institusi seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji mempunyai tanggungjawab moral dan amanah untuk mempertahankan kepentingan rakyat dan bukan tunduk kepada tekanan pasaran korporat.
Kata beliau, sejarah telah membuktikan apabila penguasaan ekonomi terlalu tertumpu kepada satu kumpulan besar, rakyat bawahan, usahawan kecil dan kontraktor tempatan menjadi mangsa.
Keadaan ini tambahnya, akan hanya memperluaskan jurang kekayaan antara elit korporat dan rakyat biasa.
“Sehubungan itu, Perdasama menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menilai semula implikasi ekonomi, sosial dan pemilikan Bumiputera sebelum sebarang kelulusan diberi.
“Selain itu, GLIC perlu menjelaskan pendirian mereka kepada umum dan mempertahankan hak pemilikan rakyat terhadap IJM Corp. Satu perbincangan terbuka melibatkan wakil industri, pertubuhan bukan kerajaa (NGO) ekonomi dan pihak berkepentingan perlu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, Perdasama akan terus memantau isu ini dan bersuara bagi memastikan asset strategik milik rakyat tidak tergadai kepada golongan maha kaya.
Kata beliau, rakyat perlu sedar bahawa kedaulatan ekonomi bangsa tidak boleh digadaikan atas nama “sinergi korporat” atau “kecekapan pasaran”.
“Apabila kekayaan hanya beredar di tangan segelintir, rakyat kehilangan suara dan maruah ekonomi bangsa turut tergadai,” katanya.



