KEMPEN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru bermula hari ini tetapi khabar angin mula bertebaran apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan mengadakan rundingan Warisan untuk membentuk kerajaan jika mana-mana parti tidak mendapat cukup majoriti bagi menubuhkan kerajaan.
Bagaimanapun hari ini Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujudnya pakatan sulit antara gabungannya dengan Warisan, yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu 2.0’.
Presiden UMNO itu berkata beliau tidak pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai sebarang bentuk kerjasama sedemikian.
“Tidak ada ‘secret pact’ (Pakatan rahsia). Saya tidak pernah adakan perbincangan dengan Shafie mengenai perkara itu. Kalau ada, kita pun tak akan bertanding di kerusi yang Warisan tandingi dan sebaliknya,” katanya pada majlis sesi libat urus bersama media di Kota Kinabalu, lapor FMT.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan perlunya rundingan antara parti-parti selepas keputusan rasmi PRN Sabah diumumkan pada 29 Nov nanti.
“Kita tak tolak kemungkinan untuk adakan rundingan dan bentuk kerajaan selepas keputusan diumumkan. Ini kerana tidak ada satu parti atau gabungan yang boleh bentuk kerajaan sendirian,” katanya.
Menjelang PRN Sabah, spekulasi bertiup kencang mengenai pakatan rahsia antara BN dan Warisan yang dinamakan ‘Langkah Kinabalu 2.0’ apabila kedua-dua ketua parti didakwa mengadakan pertemuan sulit.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, satu pertemuan berlangsung antara Shafie dan Zahid dipercayai membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.


