SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memiliki barangan kes dan gagal memberikan penjelasan memuaskan mengenai bagaimana barangan tersebut diperoleh, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Ariff Rushdan Jaludin, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M S Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa memiliki 11 batang kabel, dua pemotong kabel, satu batang kunci dan satu penarik wayar pada kira-kira jam 5 pagi di sebuah premis di Jalan Gombak, Wangsa Maju pada 11 November 2022.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivi’asnita Zaina’larifin manakala tertuduh diwakili peguam M Soosai Raj.
Ketika prosiding, Vivi’asnita menawarkan jaminan sebanyak RM2,000, namun Soosai Raj memohon pengurangan kepada RM1,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai pendapatan terhad dan mempunyai ramai tanggungan.
Majistret Arunjothy kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen.


