SEORANG pegawai bank dan bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM12,403.
Nazrul Hafeeq Ahamad Mazlan, 40, dan Maziah Hanum Hamidon, 43, membuat pengakuan berbeza selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Nazrul Hafeeq, seorang pegawai bank, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dia didakwa menerima RM6,072 daripada firma guaman Erifarizan & Hilyatu pada September 2021 sebagai balasan mencadangkan firma itu sebagai penyedia dokumen pembiayaan Commodity Murabahah Home/Shophouse Financing-i untuk beberapa pelanggan.
Sementara itu, Maziah Hanum, bekas pegawai bank mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 kerana menerima RM6,331 daripada firma guaman yang sama melalui lima transaksi antara Julai 2021 hingga Mac 2023 sebagai upah mencadangkan firma itu menyediakan dokumen perjanjian pembiayaan pelanggan.
Pertuduhan utama membawa hukuman maksimum penjara lebih 20 tahun dan, atau denda, manakala pertuduhan pilihan boleh membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip bagi kedua-dua kes itu, Nazrul Hafeeq pula diwakili peguam Zharif Nizamuddin, manakala Maziah Hanum tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Nazrul Hafeeq diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di ibu pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan bermula Disember ini.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 15 Januari depan.
Manakala Maziah Hanum dijatuhi hukuman denda RM17,000 atau 16 bulan penjara jika gagal membayar denda.


