DELEGASI dari Institut Seni Budaya Indonesia (ISBI) Bandung menyerlah pada Festival Tari Rakyat Antarabangsa (TARI’25) apabila mempertontonkan karya Sawala Rasa, sebuah persembahan yang menggabungkan unsur budaya dari lima wilayah utama Indonesia.
Menurut koreografer dan pensyarah ISBI Bandung, Deri Al Badri, Sawala Rasa dibina sebagai kolaborasi tarian tradisional dari seluruh Indonesia.
“Dalam karya ini, ia merupakan salah satu bentuk kolaborasi daripada pelbagai tarian di seluruh Indonesia. Namun, kami hanya mempersembahkan beberapa bahagian, seperti tarian dari Kalimantan, Betawi, Sunda, Sulawesi dan Papua,” katanya.
Delegasi itu turut mempersembahkan Goyang Mojang, sebuah tarian Sunda yang menonjolkan elemen kekuatan dan kecerdikan masyarakatnya.
Dari aspek muzik, beliau menjelaskan bahawa kedua-dua karya memanfaatkan kepelbagaian tradisi Indonesia.
“Muzik yang digunakan dalam Sawala Rasa diambil daripada pelbagai muzik tradisional Indonesia, termasuk dari Kalimantan, Papua, Sunda dan sebagainya. Goyang Mojang pula berasaskan muzik pop Sunda di mana ritma, lagu dan melodi berasal dari Jawa Barat (West Java),” jelasnya.
Mengulas tentang cabaran ketika persiapan, Deri mengakui bahawa persiapan selama seminggu merupakan pengalaman yang mencabar.
“Tempoh seminggu bagi saya amat mencabar. Jika ditanya adakah cukup, ia sudah cukup, jika dikatakan kurang, ia masih kurang, kerana ada penari yang belum memahami apa yang kami lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, penyertaan mereka di TARI’25 membawa harapan besar terhadap pembangunan profesional para mahasiswa.
“Harapan kami yang pertama, untuk menjalin hubungan antara negara dan kedua, untuk menambah pengalaman dengan menghasilkan sebuah karya yang diharap akan meninggalkan kenangan di sini,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa festival TARI’25 sebagai ruang pembelajaran penting bagi mereka yang terlibat.
“Ini merupakan pengalaman profesional yang memberi kebaikan kepada kami sebagai pemuzik, penari, koreografer dan penulis,” ujarnya.


