Oleh Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
APABILA Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Bajet 2026, Pemuda Pas Selangor amat terkejut dan sangat kecewa. Masalah Rumah Mampu Milik yang kami bangkitkan sebelum ini seolah-olah dipandang sepi.
Peruntukan untuk menyediakan rumah mampu milik hanya disentuh sedikit dalam projek Selangor Maritime Gateway iaitu hanya 970 unit rumah mampu milik di samping projek sebanyak 2,433 unit rumah dengan harga bebas. Boleh jadi rumah mewah lagi?

Sedangkan pada tahun 2024, terdapat seramai 302,998 memohon untuk memiliki Rumah Mampu Milik di Selangor.
Hanya 41,196 (13%) unit rumah yang telah siap dibina, 23,224 (7%) unit yang sedang dibina, sebanyak 186,637 (62%) yang projeknya masih belum dimulakan dan sebanyak 51,941 pemohon tidak diluluskan oleh pihak kerajaan.
Adakah PH di Selangor tiada kesungguhan untuk menyelesaikan isu ini? Di manakah peranan Pengerusi Perbadanan PKNS (MB Selangor) ketika ramai rakyat Selangor tiada rumah untuk dimiliki?
Berdasarkan kajian daripada Khazanah Research Institute, berlaku lambakan rumah berharga tinggi yang tidak mampu dibeli oleh rakyat di negeri Selangor. Sekarang, rakyat di Lembah Klang yang mana majoritinya adalah rakyat Selangor berhadapan dengan pilihan yang terhad untuk mereka membeli rumah mampu milik.
Pemuda PAS Selangor buat Sidang Media Khas di di Dewan Sidang Dewan Negeri bangkitkan isu ini. Antara nasihat utama Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar ialah, mengajak Kerajaan Negeri untuk berkongsi kekayaan negeri bertuah ini kepada rakyat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr, ayat 7; .
“Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”.
Sekadar bertanya, adakah terdapat isu pergelutan percaturan kuasa politik antara Menteri Besar Selangor dengan pihak-pihak tertentu membuatkan Kerajaan Negeri ini hilang fokus?
*Penulis adalah Naib Ketua Pemuda Pas Selangor.



