Banjir belum surut, penduduk Ijok buka khemah kawalan pantau rumah

PENDUDUK Kampung Batu 7, Ijok, Kuala Selangor mengambil inisiatif  membuka pusat kawalan sementara bagi memantau kediaman masing-masing selepas banjir yang melanda menunjukkan peningkatan paras air sejak semalam.

Penjawat awam, Saiful Nazrin Rahmat, 48, berkata, inisiatif itu bertujuan memantau kira-kira 20 lot rumah yang penghuninya ditempatkan  di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Ijok.

Ketika seramai 103 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan ke  PPS tersebut.

“Paras air mula meningkat sejak awal pagi dan keadaan bertambah buruk susulan hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

“Paras air bukan semakin surut, sebaliknya makin naik dan makin deras. Kami juga tidak pasti dari mana punca alirannya, namun kawasan Ijok menampung air dari kawasan lebih tinggi seperti Kuala Lumpur, Desa Coalfields, Puncak Alam,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus hari ini.

Menurutnya, banjir bermula sekitar jam 9 pagi (semalam) dengan paras air mencecah antara 0.6 hingga 0.7 meter di dalam rumah dan jauh lebih tinggi berbanding kejadian sebelum ini.

Saiful Nazrin Rahmat

Saiful Nazrin berkata, pembukaan khemah kawalan itu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan banyak rumah ditinggalkan penghuni yang dipindahkan ke PPS.

“Kami anak-anak muda kampung bergilir memantau kawasan ini bagi mengelakkan sebarang aktiviti tidak diingini. Beberapa NGO turut datang berjumpa kami di sini (khemah kawalan)” katanya.

Sementara itu, Saiful Nazrin turut meluahkan kekecewaan penduduk terhadap Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Batu 7, Ijok yang didakwa masih tidak siap meskipun telah beberapa kali diberikan lanjutan masa (EOT).

“Mengikut jadual, projek RTB sepatutnya siap sekitar 2021 atau 2022. Namun sehingga kini sudah tiga kali EOT diluluskan dan hampir memasuki kali keempat. Penduduk ingin tahu apa sebenarnya punca kelewatan,” katanya.

Beliau berkata kelewatan projek berkenaan menjadi penyumbang utama kepada risiko banjir yang semakin kerap dan semakin teruk di kawasan itu.

“Penduduk di Ijok sendiri takut untuk membeli perabot baharu kerana hampir setiap tahun berdepan situasi sama. Kami merayu kerajaan negeri dan Persekutuan turun padang melihat keadaan sebenar serta menyegerakan projek RTB ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengurangkan kerugian harta benda serta memastikan keselamatan keluarga yang terjejas setiap kali hujan lebat melanda kawasan tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img