ALEXANDER Isak mengembalikan senyuman kepada penyokong Liverpool dan jurulatih Arne Slot apabila membantu pasukan itu menewaskan West Ham yang bermain dengan 10 orang di Stadium London malam tadi.
Penyerang Sweden itu tenang menyempurnakan peluang pada minit ke-60 dalam penampilan liga keenamnya sejak menyertai Liverpool dari Newcastle United.
Pemain West Ham, Lucas Paquetá pula dilayangkan kad merah enam minit sebelum tamat perlawanan, sebelum Cody Gakpo menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut Liverpool dalam semua pertandingan.
Gol Isak hasil hantaran Gakpo yang membolehkan Isak melakukan rembatan leret ke penjuru kiri gol West Ham.
West Ham – yang gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang – semakin tertekan apabila Paquetá menerima dua kad kuning kerana membuat bantahan.
Jarrod Bowen cuba membalas dengan satu percubaan yang sedikit melepasi tiang ketika West Ham meningkatkan serangan, tetapi Gakpo memastikan kemenangan Liverpool selepas menerima hantaran lintang daripada Joe Gomez.
Isak melalui permulaan yang sukar bersama Liverpool, dengan satu-satunya golnya sebelum ini hadir dalam saingan Piala EFL menentang Southampton.
Namun penyerang berusia 26 tahun itu akhirnya menjaringkan gol dalam penampilan Liga Perdana keenamnya melalui percubaan ke-10 untuk Liverpool, dan kini memiliki enam gol sepanjang kariernya menentang West Ham.
Isak menamatkan perlawanan dengan tiga percubaan keseluruhan, dua daripadanya tepat ke sasaranDia hanya menyentuh bola sebanyak 13 kali sepanjang perlawanan, termasuk tiga hantaran, tetapi gol itu pastinya bukana sahaja melegakan tekanan besar di bahunya tetapi membuat penyokong Liverpool kembali tersenyum.


