Abdul Kadir nafi abai panggilan, mesej Aliff Syukri

BEKAS Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa beliau tidak mengabaikan panggilan telefon dan mesej daripada ahli perniagaan, Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman.

Abdul Kadir selaku plaintif berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam, Ravichandaran Selliah pada prosiding perbicaraan kes saman fitnah terhadap Aliff Syukri berhubung kenyataan membabitkan hutang puluhan juta ringgit.

“Saya tidak ingat pernah tidak menjawab panggilan telefonnya, kecuali jika saya berada di luar kawasan. Jadi saya menafikan perkara itu.

“Dia (Aliff Syukri) dakwa saya terhegeh-hegeh? Umur saya 86 tahun manakala dia 30-an. Saya telah membina ramai jutawan selama 30 tahun sebagai Ahli Parlimen, saya juga membantu ramai orang semasa bersama UMNO.

“Setiap kali saya melihat kisah kejayaan ahli perniagaan Melayu seperti Aliff Syukri, saya berasa bangga, walaupun dia tidak terpelajar sangat,” katanya dalam prosiding berlangsung di hadapan Hakim Roslan Mat Nor, lapor Harian Metro.

Abdul Kadir, 86, dalam prosiding sama mendakwa menerima pelaburan daripada Aliff Syukri sebanyak RM30 juta melalui syarikat milik keluarganya, Pembangunan Utara Baru Sdn Bhd untuk pembangunan projek mega, Buckingham By-The-Sea Sdn Bhd (BBTS) di Desaru, Johor, pada 2018.

Beliau sekali gus menafikan berhutang secara peribadi dengan Aliff Syukri, sebaliknya ia adalah pelaburan ke atas syarikat untuk projek pembangunan.

Hasil pelaburan itu, kata beliau, syarikatnya sudah membayar kira-kira RM7 juta kepada Aliff Syukri dalam tempoh beberapa bulan selepas pelaburan berkenaan.

Pada 16 April 2024, Mahkamah Tinggi mengarahkan perbicaraan bagi kes saman difailkan Abdul Kadir terhadap Aliff Syukri berhubung kenyataan fitnah membabitkan hutang pelaburan puluhan juta ringgit.

Abdul Kadir memfailkan saman pada 6 September 2023 mendakwa Aliff Syukri yang terbabit dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut yang ramai di platform media sosial iaitu Facebook, Instagram dan lain-lain, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Beliau turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud antaranya beliau berhutang dengan defendan berjuta-juta ringgit, selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan tersebut telah mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, Abdul Kadir menuntut antaranya defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah, selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara itu, Aliff Syukri menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau sudah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usaha sama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Pihak-pihak di dalam perjanjian usaha sama gagal membuat pembayaran wang yang dilaburkan olehnya dan segala pelanggaran janji sedemikian termasuklah aku janji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri, katanya yang tidak hadir prosiding hari ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img