Agro Biz Awards 2025 iktiraf 12 usahawan tani cemerlang

AGROBANK mengiktiraf pencapaian 12 usahawan tani dari seluruh negara menerusi penganjuran Agro Biz Awards 2025 sebagai usaha berterusan memperkasa sektor agromakanan serta menyokong aspirasi pertanian yang mampan dan berimpak tinggi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran Agro Biz Awards 2025 selari dengan aspirasi kementerian dalam memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian serta memastikan keterjaminan makanan negara dicapai secara menyeluruh.

Menurut beliau, anugerah berkenaan bukan sekadar menilai prestasi kewangan dan perniagaan, malah mengambil kira aspek kepimpinan, inovasi, daya tahan, keterangkuman sosial serta sumbangan kepada komuniti dan ekonomi negara.

“Penganjuran Agro Biz Awards bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan usahawan agro, malah mencerminkan komitmen berterusan Agrobank dalam membangunkan ekosistem agromakanan yang mampan, inklusif dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Agro Biz Awards 2025 di Hotel Four Season, Kuala Lumpur.

Tambahnya, inisiatif ini turut melengkapkan ekosistem sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penglibatan golongan wanita dan belia serta golongan orang kurang upaya (OKU).

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agro Biz Awards 2025 dirangka sebagai platform pengiktirafan berskala nasional kepada individu, usahawan dan institusi yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam sektor pertanian.

Menurutnya, platform tersebut mengetengahkan kisah kejayaan sebenar merangkumi inovasi teknologi agro, model perniagaan berimpak tinggi serta transformasi perusahaan tani yang mampu meningkatkan daya saing sektor agromakanan negara.

“Agro Biz Awards 2025 mempertandingkan lima kategori utama iaitu Agrobank SME of The Year, Agrobank Biz Women Award, Agrobank Biz Youth Award, Agrobank Biz Innovation Award dan Agrobank Biz Disability Empowerment, yang mencerminkan pendekatan inklusif merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

“Bagi menghargai usaha dan dedikasi para pemenang, Agrobank menawarkan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM70,000 sebagai pengiktirafan terhadap inovasi dan pencapaian luar biasa dalam ekosistem pertanian negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank kekal komited dalam memperkasa usahawan tani sebagai tonggak utama pembangunan sektor agromakanan negara.

“Melalui penganjuran Agro Biz Awards 2025, ia mencerminkan usaha berterusan Agrobank dalam menghargai kecemerlangan usahawan dan menyokong mereka untuk terus berkembang serta merealisasikan potensi penuh dalam ekosistem agromakanan,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img