Ahli perniagaan didakwa beri suapan RM2,000 kepada pegawai JAS

SEORANG ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan memberi suapan tunai RM2,000 kepada seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Oktober lepas.

Tan Kim Seng, 65, didakwa secara rasuah memberikan suapan itu kepada seorang Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar di JAS Putrajaya ketika itu sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadapnya atas kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) pada 1.20 tengah hari di Kampung Telok Gong, Klang, pada 16 Oktober 2025.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, lapor FMT.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika ia berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Alimi Mustapha mencadangkan ikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Tan Han Sam memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh memberi kerjasama sewaktu siasatan SPRM.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin rakyat Malaysia beralamat di Kuala Lumpur atau Selangor.

Beliau turut membenarkan kesemua syarat tambahan dan menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img