HASRAT seorang ahli perniagaan lelaki untuk menderma kepada program agama dan pembinaan madrasah tidak kesampaian apabila dia kerugian RM148,000 selepas diperdaya oleh satu sindiket penipuan kutipan dana.
Mangsa yang berusia 40 tahun telah melakukan tujuh kali pemindahan wang berjumlah RM148,000 ke dalam beberapa akaun untuk tujuan derma itu sejak tahun 2020 hingga November 2025.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa menyedari dia ditipu selepas dimaklumkan dana itu disalahgunakan untuk tujuan peribadi serta aktiviti mencurigakan seperti penggubahan wang haram dan jenayah terancang.
“Mangsa melakukan tujuh transaksi termasuk ke akaun individu, yayasan dan madrasah atas dasar kepercayaan serta niat baik untuk menyokong program agama dan pembinaan madrasah. Namun, beliau mendapat maklumat dana tersebut berkemungkinan disalah guna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan dan mendapatkan kembali wang yang telah diselewengkan.
Polis kata beliau, telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mengesahkan bahawa berlaku unsur penipuan dalam kes ini.


