Ahli politik pembangkang Sri Lanka mati ditembak ketika bertemu penduduk di pejabatnya

SEORANG ahli politik pembangkang Sri Lanka ditembak mati di pejabatnya pada Rabu, menjadikannya korban pertama daripada kalangan ahli politik dalam gelombang pembunuhan yang melanda negara itu tahun ini.

Lasantha Wickramasekara, 38 tahun, yang juga Pengerusi Majlis Bandaraya Weligama di kawasan pantai selatan negara itu, mati ditembak ketika sedang bertemu dengan penduduk setempat apabila seorang lelaki bersenjata meluru masuk dan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan revolver.

Menurut pihak polis, tiada individu lain yang cedera dalam kejadian itu, manakala suspek berjaya melarikan diri.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pembunuh tersebut,” kata polis dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa motif serangan masih belum diketahui, lapor NDTV.

Wickramasekara merupakan anggota parti pembangkang Samagi Jana Balawegaya (SJB), yang kini berdepan perebutan kuasa sengit dengan parti pemerintah bagi menguasai majlis bandar Weligama.

Sri Lanka menyaksikan peningkatan kes jenayah ganas tahun ini, kebanyakannya berkait dengan kumpulan dadah dan jenayah terancang. Statistik rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam lebih 100 kejadian tembakan setakat ini.

Pembunuhan ini merupakan yang pertama melibatkan ahli politik sejak kerajaan pimpinan Presiden Anura Kumara Dissanayake mengambil alih kuasa tahun lalu dengan janji untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman awam.

Antara insiden paling berani tahun ini berlaku pada Februari lalu apabila seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai peguam menembak mati seorang suspek di dalam sebuah mahkamah di ibu negara, Colombo.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img