TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai alat yang mampu memperkukuh proses kreatif dalam industri seni, khususnya muzik dan perfileman, bukannya menggantikan peranan pencipta.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata proses kreatif pada asasnya masih berpaksikan idea dan sentuhan manusia, dan perkara itu perlu dipelihara bagi memastikan masa depan industri kreatif terus relevan.
‘’Tindakan kreatif tetap merupakan hasil karya manusia dan hal ini penting bukan sahaja untuk industri muzik, malah dalam bidang perfileman.
“AI tidak boleh menggantikan pembikin filem. Sebaliknya, ia boleh membantu dalam proses kreatif, contohnya untuk menghasilkan mood board dalam produksi filem,” katanya .
Beliau kepada pemberita pada program ‘Kasih Ramadan’ dan majlis berbuka puasa Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata perbincangan lanjut perlu diadakan bersama badan berkaitan industri muzik seperti Music Authors Copyright Protection Bhd (MACP), Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) dan Public Performance Malaysia Bhd (PPM) bagi menentukan garis panduan penggunaan AI supaya tidak menjejaskan pencipta karya.
Katanya, langkah itu penting bagi menetapkan batas penggunaan AI yang boleh diterima oleh komposer, penulis lirik dan semua pihak yang terlibat dalam industri muzik. Saya percaya AI tidak akan menggantikan artis. Tetapi yang akan menggantikan artis ialah mereka yang menguasai penggunaan AI,” katanya.
Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media termasuk veteran industri.
Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA ini bagi menghargai jasa dan sumbangan pengamal media dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat, sekali gus membantu persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Hingga Mac 2026, seramai 668 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sebagai simbol keprihatinan kerajaan dalam memperkukuh kebajikan komuniti media.


