Kementerian Luar Palestin turut memberi amaran kepada rakyat Gaza supaya mengelakkan “rangkaian pemerdagangan manusia, peniaga darah, dan ejen pemindahan.”
AKHBAR Israel Haaretz mendedahkan siri penerbangan ‘misteri’ yang membawa rakyat Palestin keluar dari Gaza ke negara ketiga dipercayai dikendalikan oleh sebuah organisasi tidak berdaftar yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan Israel, kini disiasat atas dakwaan penipuan dan pemerdagangan manusia.
Memetik laporan media Palestin, akhbar itu mendedahkan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat penerbangan charter yang membawa puluhan rakyat Palestin berlepas dari Lapangan Terbang Ramon berhampiran Eilat, selatan Israel.
Penerbangan paling terkini melibatkan 153 penumpang, yang diterbangkan ke Nairobi menggunakan pesawat Fly Yo sebelum dipindahkan ke penerbangan sewaan kedua ke Johannesburg yang dikendalikan syarikat Afrika Selatan, Lift.
Menurut laporan itu, ramai penumpang tidak dimaklumkan mengenai destinasi akhir mereka sebelum menaiki pesawat. Ketibaan kumpulan tersebut di Johannesburg turut mencetuskan kekecohan selepas pihak berkuasa Afrika Selatan pada mulanya menghalang mereka turun kerana dokumen tidak lengkap, ketiadaan cop keluar Israel dan ketiadaan tiket pulang.
Organisasi yang didakwa menguruskan penerbangan ini, Al-Majd, memaparkan dirinya secara dalam talian sebagai badan penyelamat kemanusiaan yang beroperasi sejak 2010. Namun Haaretz melaporkan bahawa tiada rekod pendaftarannya ditemui di Jerman atau Baitulmaqdis Timur seperti yang didakwa.
Siasatan turut mendapati laman web Al-Majd hanya diwujudkan pada Februari lalu, mengandungi imej stok, pautan media sosial tidak aktif dan tuntutan penglibatan dalam operasi kemanusiaan di Syria serta Turkiye yang tidak dapat disahkan.
Versi arkib laman itu sebelum ini memaparkan logo Talent Globus, sebuah syarikat berdaftar di Estonia yang mendakwa menyediakan perkhidmatan imigresen, tetapi menggunakan nombor telefon tidak berfungsi dan alamat antarabangsa yang meragukan.
Dua individu disenaraikan sebagai “pengurus projek”, namun hanya seorang — Muayad dari Gaza — mempunyai rekod digital. Beliau pernah memuat naik gambar dirinya menaiki pesawat ke Indonesia sambil menyatakan bahawa beliau “meninggalkan Gaza dan tidak akan kembali.” Tiada maklumat dapat dikesan mengenai seorang lagi individu bernama Adnan.
Laporan video Al Jazeera mendapati Al-Majd menerima bayaran hanya melalui mata wang kripto, manakala beberapa foto profil kakitangan dipercayai dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Siasatan turut mendedahkan bahawa Biro Migrasi Sukarela Israel — unit yang ditubuhkan dalam Kementerian Pertahanan pada Mac tahun lalu — merujuk Al-Majd kepada Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) untuk menguruskan proses pemergian penduduk Gaza secara kekal.
Biro itu dibentuk selepas keputusan Kabinet untuk mempercepat proses kelulusan keluar bagi rakyat Palestin yang ingin meninggalkan Gaza. Ia diketuai pegawai Kementerian Pertahanan, Yaakov (Kobi) Blitstein.
Walaupun beberapa organisasi lain cuba membuat aturan yang sama, Haaretz melaporkan bahawa hanya Al-Majd yang berjaya melaksanakan operasi tersebut.
Kedutaan Palestin di Afrika Selatan mengutuk tindakan itu, menyifatkannya sebagai diatur oleh “sebuah organisasi tidak berdaftar dan mengelirukan yang mengeksploitasi keadaan kemanusiaan tragis rakyat Palestin di Gaza.”
Ia menuduh Al-Majd memungut wang melalui helah palsu sebelum cuba melepaskan tanggungjawab apabila masalah timbul.
Beberapa penumpang memberitahu mereka membayar sekitar AS$5,000 (RM20,662) seorang untuk menyertai penerbangan itu.
Kementerian Luar Palestin turut memberi amaran kepada rakyat Gaza supaya mengelakkan “rangkaian pemerdagangan manusia, peniaga darah, dan ejen pemindahan.”
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, berkata pihak berkuasa “terkejut” dengan ketibaan pesawat berkenaan dan tidak dimaklumkan mengenai siapa yang mengatur pemindahan itu.
“Kami tidak boleh menghantar mereka pulang… Mereka datang dari sebuah wilayah yang musnah akibat konflik dan perang,” katanya.
Menurut Al Jazeera, badan pengawal selia di Afrika Selatan serta beberapa agensi penyiasat antarabangsa yang tidak dinamakan telah memulakan siasatan terhadap Al-Majd Europe — termasuk tentang jenis operasi tersebut, sumber pembiayaan penerbangan, serta sama ada ia memenuhi definisi pemerdagangan manusia atau migrasi tidak teratur yang dilabel sebagai pemindahan kemanusiaan.
Haaretz melaporkan bahawa Al-Majd tidak menjawab permintaan media untuk mengulas.


