SEORANG tukang masak wanita warga Myanmar maut ditikam dalam pertengkaran yang berpunca daripada makanan tidak enak di sebuah restoran di Seberag Prai malam tadi.
Dalam kejadian jam 9 malam, mangsa yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Suaminya, yang juga warga Myanmar berusia lewat 40-an, cedera pada badan, manakala seorang lagi lelaki yang juga rakan suspek turut cedera akibat ditikam, lapor Berita Harian.
Difahamkan, suspek bersama beberapa rakannya datang ke restoran itu kira-kira jam 8.30 malam dalam keadaan dipercayai mabuk sebelum tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.
Pertengkaran kemudian berlaku antara kumpulan lelaki terbabit dengan mangsa serta suaminya sebelum mangsa mengarahkan mereka beredar dari premis.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka yang berusia 30-an dikatakan menghubungi abangnya sebelum kembali ke restoran dan menikam mangsa sehingga maut menggunakan pisau.
Tindakan pantas polis membawa kepada penahanan suspek dan abangnya, masing-masing berusia lewat 30-an, di kawasan berhampiran lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa dirawat di hospital sama.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


