KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr.Muhammad Akmal Saleh akan mengumumkan kedudukan dalam parti dan kerajaan minggu depan ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung mulai 14 Januari ini.
Dalam kenyataan melalui Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memberi bayangan beliau akan meneruskan desakan yang dibuat berhubung kedudukan UMNO dan kerjasama dengan Pas pada perhimpunan tersebut.
‘’Kita dah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam .Insha-Allah kita teruskan bersuara di Perhimpunan Agung UMNO pula minggu depan membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian,’’ katanya.
Beliau menegaskan, demi penyatuan agama bangsa Melayu, jangan pernah takut untuk bercakap mengenai perkara yang betul.
‘’Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin,tetapi kerana rakyat di bawah Insha-Allah kedudukan saya di dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan di dalam PAU minggu hadapan….Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,’’ katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 akan berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.


