AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang merampas enam kontena sisa elektronik (e-waste) serta empat kontena sisa plastik seberat 216,726 kilogram yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat (AS) di Pelabuhan Klang, semalam.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan fizikal ke atas 15 kontena di tapak pemeriksaan kontena di tapak pemeriksaan CFS 4, Pelabuhan Klang Barat kira-kira jam 9 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan itu dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.
“Hasil pemeriksaan mendapati, enam kontena berisi e-waste dan empat kontena mengandungi sisa plastik.
“Ada kontena mengandungi sisa elektronik terdiri daripada unit pemproses pusat (CPU), penghawa dingin terpakai, campuran sisa elektronik dan logam sekerap, campuran plastik bersama sisa elektronik, kepingan sisa elektronik serta alat ganti kereta.
“Semakan mendapati semua kontena ini masuk ke dalam negara seawal Disember 2024 hingga Julai tahun lalu. Jumlah berat dagangan adalah 216,726 kilogram,” katanya dalam kenyataan.
Nik Ezanee berkata, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan re-export.
Dalam pemeriksaan berasingan katanya, AKPS berjaya mengesan dan menggagalkan cubaan masuk hasilan haiwan, aiskrim dari negara China yang tidak selaras antara pengisytiharan dalam Borang K1 dengan kandungan sebenar konsainan di pusat pemeriksaan sama.
“Pihak pengimport mengemukakan pengisytiharan barang dagangan pada borang K1 sebagai frozen dumpling. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati barangan sebenar yang dibawa masuk adalah aiskrim dari negara China.
“Rampasan dianggarkan bernilai RM59,276.82 dengan anggaran berat 17,580 kilogram. Pemeriksaan mendapati kesemua dagangan cuba dibawa masuk tanpa permit import MAQIS yang sah.
“Sitaan dibuat untuk memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] atas kesalahan mengimport tanpa permit import MAQIS yang sah.


