AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang menyita tiga kontena berisi sisa elektronik (e-waste) dianggarkan seberat 62,461 kilogram di tapak CFS4 Pelabuhan Klang Barat, dekat sini, hari ini.
Penemuan itu hasil pemeriksaan diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dan disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); SIRIM; Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Nik Ezanee berkata, sebanyak 20 kontena diperiksa kira-kira 9 pagi, dan pihaknya mendapati tiga daripada muatan kontena itu berisi e-waste dan manakala 17 kontena lagi mengandungi sisa plastik.
“Setiap kontena berkenaan masing-masing membawa 23,910 kilogram; 20,407 kilogram dan 18,144 kilogram campuran kabel dan e-waste.
“Kesemua kontena masuk ke dalam negara seawal Julai 2025 hingga Januari tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemasukan Bahan Buangan Terjadual itu adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.
“Sejak 26 Januari lalu sejumlah 116 kontena diperiksa dengan 43 daripadanya dikesan membawa sisa termasuk e-waste yang dianggarkan seberat 911,000 kilogram,” katanya.


