Al-Fatihah, Bung Moktar meninggal dunia

AHLI Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia, sebentar tadi.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi.

Perkembangan itu diumumkan oleh anak lelakinya, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di laman media sosial Facebook rasminya, sebentar tadi.

“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).

Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran terbabit.

Allahyarham dilahirkan pada 14 September 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan, Sabah..

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bilit sebelum menyambung pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum bergiat aktif dalam politik, Allahyarham Bung Moktar berkhidmat sebagai pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Sandakan bermula dari tahun 1987 hingga 1990, sebelum menyertai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1990 hingga 1992.

Pada 1994 hingga 1999, Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah.

Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1999 apabila beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, jawatan yang disandangnya selama lebih dua dekad.

Pada 2020, beliau turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya negeri dari 2020 sehingga 2023.

Bung Moktar juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018. Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau dikenali sebagai antara pemimpin UMNO Sabah yang lantang bersuara serta berpengaruh.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img