SEORANG lelaki warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, minggu lalu.
Noor Aini Ismail, 63, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan maksud seksual ke atas seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Desa Port Dickson, Port Dickson pada 6 Disember lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika disabitkan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan tarikh 19 Disember depan bagi fakta dan hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin dan kes serius.
Mahkamah kemudiannya bersetuju dengan tawaran pihak pendakwaan dengan membenarkan sebarang jaminan.


